Pengurusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, bercakap kepada media pada sidang media susulan penghinaan insiden di Lahad Datu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK), Shah Alam. foto ISKANDAR HAMIDI 24 SEPTEMBER 2020.

SHAH ALAM – Tindakan Datuk Mohammadin Ketapi menghina anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden Lahad Datu menunjukkan bekas menteri itu tidak menghormati pihak polis dan tentera.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa yang kecewa dengan tindakan itu menjangkakan pemimpin Warisan itu sukar menaungi pasukan keselamatan jika kembali ke Putrajaya.

“UMMAH bersama 1,200 NGO kita di seluruh negara bersama Tan Sri Musa Hassan begitu kecewa dengan kenyataan oleh seorang ahli politik (menghina kes Lahad Datu).

“Kalau dia (Warisan) jadi Perdana Menteri dia juga mesti menghormati pihak keselamatan.

“Sikap yang ditunjukkan oleh Mohammaddin menunjukkan ahli-ahli politik ini tidak menghormati pasukan keselamatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Isnin lalu, satu klip video tular di laman media sosial memaparkan Mohammaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, mempersendakan pasukan keselamatan ketika berkempen sehingga mencetuskan kemarahan semua pihak.

Beliau bagaimanapun tampil dengan permohonan maaf dan menjelaskan kenyataannya berhubung pasukan keselamatan seperti diucapkan beliau dalam klip video itu sudah disalah erti.

Sementara itu, UMMAH menegaskan hukuman bunuh mandatori perlu dikekalkan kerana ini salah satu perkara yang boleh mengukuhkan undang-undang.

“Kalau tidak ada hukuman bunuh, sebagaimana yang diuar-uarkan untuk dimansuhkan, ini juga akan mengganggu kekukuhan undang-undang yang ada dalam negara kita

“Pihak-pihak tertentu secara sewenang-wenangnya boleh melakukan kesalahan.

“Hukuman mati mandatori boleh membanteras dan menghadkan tindakan-tindakan seseorang itu untuk melakukan kesalahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette