SP Balasubrahmanyam, 74, meninggal dunia di Tamil Nadu selepas diwadkan akibat Covid-19 sejak awal Ogos lalu.

TAMIL NADU – Dunia hiburan khususnya industri filem India dikejutkan dengan berita penyanyi legenda India, SP Balasubrahmanyam yang meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini.

Anak beliau SPB Charan memaklumkan berita daripada pakar perubatan hospital berkenaan yang mengesahkan penyanyi itu meninggal dunia tengahari tadi pada usia 74 tahun selepas kesihatannya bertambah kritikal akibat jangkitan pandemik global itu.

Beliau telah menyanyikan lebih 40,000 lagu membabitkan 16 bahasa dalam industri sinema selama 50 tahun lalu di India dan memegang rekod dunia bagi pencapaian dalam dunia seni itu.

Beliau sebelum itu telah dimasukkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU)  Hospital Swasta di Chennai sejak disahkan positif Covid-19 pada awal Ogos lalu untuk rawatan lanjut sebelum awal September ini menunjukkan negatif virus itu.

Beliau telah dipantau rapi dengan bantuan pernafasan oksigen dan virus difahamkan merebak sehingga ke paru-parunya malah penyakit kronik seperti kencing manis dan beberapa pembedahan sebelum ini turut didakwa menyumbang kemerosotan kesihatannya.

SP Bala menerima anugerah daripada Presiden India terdahulu yang kini tinggal kenangan selepas pemergiannya tengahari tadi.

Namun beliau dilaporkan menunjukkan perkembangan positif untuk beberapa hari sebelum ini tetapi dilaporkan kritikal semalam, malangnya hari ini dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian beliau sekitar 1 tengahari (waktu tempatan) tadi.

Jutaan takziah mula membanjiri media sosial, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya membabitkan peminat beliau dari India, Malaysia, Singapura, Sri Lanka, Kanada, United Kingdom, Australia dan juga Amerika Syarikat.

Perdana Menteri India, Narendra Modi yang terkejut dengan berita menyedihkan itu turut merakam takziah kepada keluarga mendiang sambil menyifatkan pemergian penyanyi legenda itu sebagai satu kehilangan besar.

Malah Presiden India Ram Nath Kovind juga peminat setia SPB merakamkan takziah kepada keluarga mendiang sambil menyifatkan walaupun artis tersohor itu meninggalkan kita, beliau akan hidup dalam kesenian dan muzik yang ditinggalkan untuk semua di dunia ini.

Beliau dilahirkan di Andra Pradesh pada 1946 dan berkelulusan Ijazah Kejuruteraan tetapi memilih bidang nyanyian sebagai krier hidupnya.

SP Balasubrahmanyam lebih dikenali sebagai SPB dengan nama manja dalam kalangan peminat serta Paadum Nila (singing moon) memulakan kariernya di Tamil Nadu sebagai penyanyi pada tahun 1969 untuk filem lakonan MGR sebelum meneruskan nyanyian di industri filem Telugu dan juga Bollywood pada era Ambithab Bachan dan beberapa pelakon lain dalam industri sinema.

Beliau turut mengadakan konsert besar-besaran bersama selebriti filem India di Kuala Lumpur beberapa kali sebelum ini dan kali terakhir beliau membuat persembahan di negara ini pada tahun lalu.

Malah stesen radio termasuk di Stesen RTM Minnal FM mendendangkan lagu-lagu mendiang sebagai menzahirkan penghormatan terakhir kepada seniman itu sejak berita kematiannya mula diterima secara rasminya dari Tamil Nadu.

Peminat juga mula berkongsi dan memuat naik lagu-lagu terbaik beliau penghujung abad 20 sehingga kini dalam media sosial beserta doa masing-masing supaya mendiang tenang di sana.

SPB telah merentasi zaman dan menyanyikan lagu untuk pelbagai genre serta beberapa generasi sehingga kini selain turut mendendangkan lagu moden di bawah arahan komposer tersohor dunia dari India A.R.Rahman.

Penampilan sulung beliau dalam dunia Bollywood adalah pada tahun 1981 menerusi lagu bertajuk Ek Duuje Ke Liye (We Are Made For Each Other)’.

Beliau turut pernah menyanyikan lagu untuk filem lakonan superstar Bollywood Salman Khan serta untuk puluhan filem Superstar Rajnikanth khususnya dalam filem seram Chandramukhi dan juga Sivaji the Boss.

Difahamkan beliau sempat menyanyikan lagu terakhirnya untuk filem terbaharu lakonan Rajnikanth bertajuk ‘Annathe‘ di bawah arahan komposer muzik D.Imman.

Kerajaan India telah mengiktiraf sumbangan beliau dalam dunia hiburan dan sinema India dengan menganugerahkan dua anugerah tertinggi di negara itu iaitu bergelar Padma Shri pada 2001 dan Padma Bhushan pada 2011.- MalaysiaGazette