Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin melihat gambar-gambar barangan yang dirampas selepas sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur melibatkan tiga kes jenayah yang berlaini sekitar Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jika anda menerima panggilan wanita tidak dikenali menerusi aplikasi media sosial seperti WeChat, sila fikir dua kali sebelum melayannya.

Itu peringatan polis apabila satu sindiket bernama Geng Kenny yang dianggotai lima anggota termasuk dua wanita yang aktif lebih setahun lalu memeras ugut mangsa untuk menyebarkan video separuh bogel menerusi WhatsApp yang dirakam dengan kerelaan mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan pada 31 Julai lalu dari seorang lelaki Cina warga tempatan yang menerima satu video menerusi WhatsApp dari seorang lelaki yang tidak dikenali mengugut menyebarkan video separuh bogel milik mangsa kepada kenalannya.

Katanya, takut akan dengan ugutan, pengadu telah memindahkan wang sebanyak RM7,000 ke dalam akaun milik salah seorang saspek.

Bagaimanapun saspek tidak berpuas hati dengan jumlah itu dan meminta tambahan RM3,000 lagi daripada mangsa sebagai balasan untuk memadamkan video itu.

“Semakan lanjut polis mendapati terdapat 12 laporan berkaitan modus operandi sama melibatkan kerugian berjumlah RM 16,800.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan petugas khas yang ditubuhkan dari Bahagian JSJ Dang Wangi telah membuat serbuan di Taman Indah Perdana sebelum berjaya menahan tiga lelaki Cina dan dua wanita Cina tempatan berusia antara 22 hingga 30 tahun.

“Polis berjaya merampas dua komputer, empat komputer riba, enam telefon bimbit dan 14 keping kad Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) pelbagai bank,” katanya dalam sidang media khas kejayaan Jabatan Siastaan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Saiful Azly, modus operandi Geng Kenny adalah dengan mewujudkan profil palsu di aplikasi media sosial seperti Tantan, Shu Yue, Shiaomei, Singol, Tam Tam, Fast Dating dan Go2datenight.

Katanya, perancang akan menggunakan dua wanita yang merupakan rakan sejenayah itu untuk memancing dan melayan panggilan dan Wechat dari mangsa sebelum membuat panggilan video bersama mangsa dan berbual-bual lucah selain menunjukkan badan separuh bogel.

Malah,  saspek wanita akan juga memaksa mangsa berbuat demikian di dalam panggilan video itu dan tanpa disedari mangsa akan merakam aksi mangsa dan kemudian menghantar mesej peras ugut kepada mangsa dan mengedarkan gambar bogel mangsa di media sosial dan meminta wang RM10,000

“Perancang utama akan menyediakan akaun bank milik rakan sejenayah untuk dimasukkan wang oleh mangsa sebelum mangsa yang trauma gambarnya akan tersebar memasukkan wang seperti dikehendaki saspek.

“Dengan tertangkapnya lima orang saspek ini kita berjaya menyelesaikan 12 kes peras ugut melalui sosial media,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Saiful Azly, tiga daripadanya diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan dua lagi di bawah Akta 382 Kanun Keseksaan selain tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haran 2001 (AMLA).

Menurutnya, polis akaun kesemua empat akaun bank milik saspek telah dibekukan dengan jumlah simpanan hampir RM500,000. – MalaysiaGazette