Calon Perikatan Nasional (PN) DUN N.68 Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Sentuhan Mesra Warga Dun Apas sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Flat Sri Titingan, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Kurang 24 jam daripada sekarang, sejumlah 1.088 juta pengundi negeri Sabah akan menunaikan tanggungjawab mereka dan bagi calon-calon yang bertanding inilah masanya untuk mereka menggerakkan sepenuhnya jentera bagi memenangkan parti masing-masing.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jentera pilihan rayanya kini memasuki gear enam untuk terus kekal di DUN ini.

“Sudah mahu pergi gear enam sudah ini (kempen hari terakhir PRN Sabah),” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hari ini adalah hari terakhir bagi 447 calon daripada pelbagai parti akan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah setelah kempen selama 14 hari tamat tengah malam ini.

Jelas Nizam, beliau menggunakan strategi turun rumah ke rumah serta berdepan dengan pengundi secara langsung bagi mendapatkan lebih undi esok.

“Semakin dekat dengan hari pengundian, saya semakin memperhebatkan kempen saya rumah ke rumah, dan bertemu setiap seorang pengundi di DUN Apas.

“Setakat ini daripada apa yang saya dapat tahu mereka memberikan respon yang positif, mudah-mudahan segala usaha kita ini akan memberikan keputusan yang positif dan dapat menyumbang satu kerusi untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang baru di Sabah,” katanya.

Calon Perikatan Nasional (PN) N.72 Merotai, Mohamad Jalani Chachu melambai tangan kepada penyokong ketika hadir ke Majlis Sentuhan Mesra Bersama Warga DUN Merotai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Taman Merotai Jaya, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

Seorang lagi calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Jailani Chachu pula berkata, jentera sudah bergerak pada tahap yang maksimum.

Jelasnya, ia kini berada pada kuasa penuh bagi memenangkan calon PN dalam misi merampas kerajaan negeri.

“Setakat ini kalau ada gear, sudah habis gear kita bergerak. Kita gerakkan kekuatan kita memang cukup maksima untuk kita menang.

“Jadi kejayaan itu kita usahakan, selebihnya kita tawakal,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasama antara PN dan Barisan Nasional (BN), Jailani berkata, pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada gabungan-gabungan lain.

“Setakat ini kita mendapat kerjasama yang sepenuhnya daripada UMNO, PBS dan Pas.

“Bagi saya soal kerjasama itu memang sudah lama kita ada dan kita tidak melihat ada rasa kebimbangan, jadi setakat ini gabungan itu semakin kukuh dalam meletakkan kemenangan dalam komponen kita antara PN dan BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette