Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan spekulasi yang mengaitkan beliau dengan menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bendahari Agung UMNO itu berkata, beliau tidak terlibat malah tidak menyokong gerakan itu seperti yang digemburkan media sosial yang menyatakan 19 Ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar dalam pembentukan kerajaan baharu.

“Hentikan spekulasi, kerajaan baharu hanya angan-angan Anwar.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak terlibat dan sama sekali tidak menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Ini hanyalah angan-angan Anwar dan berharap agar tidak ada pihak yang percaya dengan dakwaannya,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Putrajaya itu, beliau masih bersama UMNO dan kepimpinan parti itu.

“Saya tetap bersama UMNO, dulu kini selamanya dalam perjuangan sebuah bangsa.

“Kita dalam UMNO juga telah putuskan ‘no Tun Mahathir, no Anwar and no Dap’, jadi hentikanlah spekulasi ini.

“Hentikan spekulasi, kita teruskan perjuangan menjaga rakyat dan tetap setia bersama Barisan Nasional (BN),” ujarnya.-MalaysiaGazette