Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terpaksa menjalani kuarantin wajib selama 14 hari selepas dikesan berlaku kontak dengan dua individu yang positif Covid-19 beberapa hari lalu.

Setiausaha Politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, kuarantin wajib itu bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu sehingga 3 Oktober ini.

Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, semua program atau aktiviti yang melibatkan Ahmad Samsuri ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin wajib.

“Tindakan pantas telah diambil oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk mengenalpasti, menghubungi dan menjalankan ujian Covid-19 terhadap semua yang berkait dengan kontak berkenaan.

“Pemantauan berterusan juga sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri dengan penuh dedikasi,” ujarnya.

Namun, kata Muhyidin, Menteri Besar itu telah pun menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RRT-PCR) Covid-19 dan disahkan negatif.

Menurutnya, meskipun keputusan ujian RRT-PCT Covid-19 itu negatif tetapi beliau perlu menjalani satu lagi ujian pada hari ke-13 nanti.

Bagaimanapun, katanya, Menteri Besar Terengganu akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 30 September ini secara video atas talian.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.