Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Tindakan Parti Warisan Sabah menularkan ucapan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya beliau menyokong parti pemerintah Sabah itu disifatkan sebagai terdesak serta cuba meraih sokongannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Sebaliknya Mohamed Azmin menegaskan, ucapan itu dibuat ketika beliau turun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kimanis pada Januari lalu.

“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan tersebut dibuat untuk membantu calon Warisan yang merupakan rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

“Penyebaran ucapan tersebut yang diulang semula beberapa jam sebelum hari pembuangan undi PRN Sabah 2020 membuktikan bahawa Warisan berada dalam situasi yang kian terdesak dan cuba mendapatkan sokongan saya untuk calon-calon Warisan.

“Saya mengajak semua pengundi-pengundi di Sabah untuk memberikan sokongan kuat dan padu kepada calon-calon Perikatan Nasional(PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam PRN Sabah, esok,” kata Ketua Penerangan PN itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin merasakan sokongan rakyat cukup kuat dan utuh kepada PN dan GPS sepanjang beliau menjelajah ke hampir seluruh Sabah termasuk kawasan pendalaman sepanjang tempoh kempen.

“Saya yakin dan percaya, rakyat Sabah mendambakan sebuah Kerajaan Negeri yang stabil dan mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette