Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kekurangan pemangkin positif untuk membantu pasaran menyebabkan dagangan di Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam sentimen berhati-hati minggu depan.

Penganalisis kanan pasaran OANDA untuk Asia Pasifik Jeffrey Halley berkata, Bursa Malaysia akan bergantung sepenuhnya kepada hala tuju Wall Street dalam minggu mendatang serta data ekonomi China.

Sementara itu, ketidakstabilan politik juga boleh mempengaruhi semangat pelabur tetapi ia tidaklah sehingga menjejaskan pergerakan pasaran, katanya kepada Bernama.

Halley berkata kejatuhan di Bursa Malaysia disebabkan terutamanya oleh kelemahan Wall Street minggu ini dan bukannya kerana pengumuman yang dibuat pada pertengahan minggu mengenai keadaan politik semasa sementara kemasukan bon Malaysia ke dalam FTSE Russell tidak memberi sebarang kesan buat masa ini.

Awal hari ini, FTSE Russell mengumumkan Malaysia masih lagi sebahagian daripada Indeks Bon Kerajaan Dunianya (WGBI) tetapi kekal berada dalam senarai pemerhatian dengan potensi menurun dalam Tahap Kebolehcapaian Pasaran.

Pada masa ini, Malaysia berada di Tahap 2, syarat minimum untuk kemasukan dalam WGBI. Negara telah diletakkan di dalam senarai pemerhatian pada Mac 2019.

Berdasarkan kepada perbandingan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI mengakhiri minggu urus niaga 2.51 mata lebih tinggi pada 1,509.14 daripada 1,506.63 sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas menokok 3.19 mata kepada 10,840.81 daripada 10,837.62, Indeks FBMT 100 mengukuh 16.22 mata kepada 10,668.51 daripada 10,651.74 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 125.35 mata kepada 12.962.42 daripada 12,837.07.

Indeks FBM 70 menambah 18.26 mata kepada 14,050.29 daripada 14,032.03 sementara Indeks FBM ACE susut 1,034.32 mata kepada 10,027.22 daripada 11,061.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 241.73 mata kepada 12,327.62, Indeks Perladangan menyusut 96.83 mata kepada 7,055.12 dan Indeks Teknologi lebih rendah sebanyak 0.72 mata kepada 53.99.

Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 159.38 mata kepada 3,772.73 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.91 mata kepada 134.79.

Jumlah dagangan mingguan tinggi sedikit kepada 33.09 bilion unit bernilai RM20.31 bilion daripada 33.0 bilion unit bernilai RM22.31 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 17.50 bilion saham bernilai RM15.64 bilion daripada 19.05 bilion saham bernilai RM17.29 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 3.24 bilion unit bernilai RM859.92 juta daripada 3.56 bilion unit bernilai RM1.01 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 13.46 bilion saham bernilai RM4.81 bilion daripada 9.93 bilion saham bernilai RM4 bilion. – MAlaysiaGazette