KUALA LUMPUR – MIC menganggap sebarang penawaran kerusi Parlimen tambahan oleh Barisan Nasional (BN) untuk partinya dianggap satu bonus.
Bagaimanapun, parti itu daripadasegi pengagihan kerusi sudah meluahkan hasrat kepada BN bahawa partinya akan bertanding di semua sembilan kerusi Parlimen dan 18 Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti sebelum ini.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jika ada cadangan menambah kerusi, parti akan mengemukakan dua kerusi baharu dari BN iaitu Parlimen Padang Serai dan Teluk Intan.
“Peluang tambah kerusi Parlimen memang ada dalam rancangan MIC tetapi sebarang keputusan penambahan serta pengagihan kerusi itu terletak di tangan pucuk kepimpinan tertinggi BN, dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Tiada perubahan dalam sembilan kerusi Parlimen dan 18 DUN yang secara konvensional ditandingi MIC sebelum ini cuma satu kerusi iaitu Cameron Highlands tidak pasti akan bertanding atau tidak kerana sebelum ini kerusi yang dimiliki sejak tahun 2004 itu dipinjamkan pada PRK (Pilihan Raya Kecil) lalu dan bertukar tangan.
“Mungkin kita tidak akan bertanding di Cameron Highlands dan tukar dengan kerusi lain berpotensi tapi semua bergantung kepada pucuk pimpinan BN,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Saravanan, MIC dalam masa yang sama tidak akan menjadi terlalu bercita-cita tinggi dalam hal itu.
“Sekiranya, tiada lagi muafakat baharu dengan parti baharu lagi dalam perikatan kami, maka kita mungkin akan minta lebih sebab banyak kerusi-kerusi kosong yang ditinggalkan parti Gerakan sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke majlis perasmian Wisma Koperasi Pekerja Jaya milik MIC yang turut dihadiri Tun S. Samy Vellu selaku pencetus idea berkenaan dan disempurnakan oleh Presiden MIC, Tan Sri S.A.Vigneswaran.
Menurutnya, jentera pilihan raya MIC sudah bersiap sedia dalam setiap sayap untuk berdepan cabaran PRU-15 nanti yang dijangkakan bila-bila sahaja.
Saravanan juga dijangkakan bakal mempertahankan kerusi Parlimen beliau untuk penggal keempat berturut-turut bagaimanapun tidak mengulas mengenainya.
Malah pemilihan calon-calon berkelayakan peringkat parti kali ini juga dijangkakan sedang dalam proses perbincangan MIC kali ini.
Katanya, sentimen kaum India ke arah MIC dan Perikatan Nasional (PN) khususnya menampakkan perkembangan positif sejak PRK Slim lagi.
Ujar beliau MIC melaksanakan segala program bergantung kepada kekuatan MIC dengan pucuk pimpinan sedia ada yang mana perubahan dapat dilihat sekarang.
“Contohnya di Slim khususnya kawasan pengundi India yang kita pernah kalah kepada PH sebelum ini sudah balik kepada kita.
“Ini petanda baik walaupun tak banyak peruntukan untuk pembangunan India seperti zaman Datuk Seri Najib Razak.
“Saya berpendapat perubahan ini berlaku disebabkan mereka kecewa dengan Pakatan Harapan sejak 18 bulan lalu yang disandarkan pelbagai harapan pembangunan masyarakat itu dan sedar BN dan PN boleh buat perubahan tetapi kita tidak berangan-angan 100 peratus,” ujarnya.-MalaysiaGazette