Joniston Bangkuai

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu Sabah (PBS) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa PBS akan berhubung dengan Parti Warisan Plus untuk menubuhkan kerajaan baru.

Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai, parti itu masih bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan negeri Sabah.

“Dakwaan ini telah ditularkan di media sosial berikutan keputusan Pilihanraya Negeri Sabah semalam.

“PBS, sebagai rakan kongsi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap bersama rakan sekutunya – Perikatan Nasional dan Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dakwa Joniston, mesej itu tular di media sosial sejak kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) semalam.

GRS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 apabila memperoleh 38 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Dalam pengumuman keputusan rasmi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi, Barisan Nasional (14) dan Parti Bersatu Sabah (7).

Manakala Warisan Plus Sabah pula mendapat 32 kerusi.

Warisan memperoleh 27 kerusi, PKR (2), bebas (3) dan UPKO (1). – MalaysiaGazette