Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama Kuala Lumpur 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 menyebabkan inisiatif-inisiatif yang telah ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) perlu diteliti dan digubal semula.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa ini, kesan pandemik terhadap beberapa teras strategik WKB 2030 sedang ditangani menerusi inisiatif Prihatin dan Penjana.

Tambahnya, kerajaan juga akan menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri manakala Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) akan bertindak sebagai sekretariat dan jawatankuasa-jawatankuasa di bawahnya.

MKTB akan berfungsi sebagai mekanisme pemantauan peringkat tertinggi supaya objektif WKB 2030 dapat dicapai dan memberi impak positif langsung kepada rakyat.

“Saya sedar bahawa pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia memberi kesan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi kebanyakan negara termasuk Malaysia. Sektor-sektor ekonomi di negara kita telah terjejas dan pada masa ini berada dalam proses pemulihan.

“Situasi ini pastinya memberikan kesan kepada unjuran pencapaian objektif Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang tahun 2030.

“Saya merasakan bahawa pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah WKB 2030 seperti yang ditentukan di peringkat awal wawasan ini digubal mungkin perlu diteliti semula dengan mengambil kira kesan pandemik Covid-19,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Balai Rakyat Kemakmuran Bersama 2030 di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, Teras 1 dan 2 WKB iaitu Ekosistem Perniagaan dan Industri serta Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama, kerajaan melalui Geran Khas Prihatin (PKS Mikro) telah menyalurkan bantuan kewangan secara one-off khusus untuk PKS mikro meringankan beban kewangan selepas terjejas akibat Covid-19.

Sebanyak RM1.63 bilion telah disalurkan kepada 544,688 PKS mikro yang layak, ujarnya.

Bagi Teras 3 dan 4 iaitu Modal Insan dan Pasaran Buruh dan Pampasan Pekerja, antara inisiatif utama ialah program subsidi upah. Sebanyak RM10.44 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja dan lebih 321,000 majikan.

Di bawah Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, peruntukan sebanyak RM500 juta telah disalurkan kepada lapan agensi.

Bagi Teras 5 dan 7 iaitu Kesejahteraan Sosial dan Modal Sosial pula, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM11.1 bilion wang tunai kepada 10.6 juta penerima yang layak di bawah inisiatif Bantuan Prihatin Nasional.

Menerusi Bantuan Sosial Bagi Golongan Mudah terjejas, sejumlah RM61.7 juta telah disalurkan kepada lebih 205,000 penerima yang merangkumi kumpulan OKU, ibu tunggal dan kumpulan sukarelawan khidmat bantu di rumah. – MalaysiaGazette