Hajiji Noor

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sepatutnya meletakkan titik noktah kepada kemelut politik yang berlarutan sejak 2018 tidak menjadi kenyataan.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah membuat pengumuman rasmi bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah berjaya membentuk kerajaan negeri baharu di Sabah dengan majoriti mudah selepas memenangi 38 kerusi dalam PRN Sabah namun Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih tidak akan mengaku kalah.

Beliau seolah-olah tidak mengiktiraf kemenangan GRS.

Mohd Shafie merujuk kepada Artikel 6 (7) Perlembagaan Sabah dan mendakwa beliau masih boleh membentuk kerajaan memandangkan satu parti rasmi yang berdaftar dengan SPR dan berjaya memperoleh jumlah kerusi terbanyak ialah parti Warisan iaitu dengan jumlah 29 kerusi.

Berdasarkan Artikel 6(7) Perlembagaan Sabah, Yang Dipertua Sabah (TYT) boleh melantik ketua sebuah parti berdaftar yang telah menang dalam pilihan raya sebagai Ketua Menteri malah diyakini mampu mendapat sokongan majoriti daripada DUN.

Hakikat sebenarnya. GRS berdaftar sebagai parti rasmi ataupun tidak bukan satu isu sebaliknya Perlembagaan Sabah tidak pernah menghalang pembentukan pemerintahan kerajaan secara coalition of parties.

Malah, Warisan memerintah selama 26 bulan ini walaupun bukan sebuah coalition rasmi yang berdaftar dengan RoS atau SPR sebelum ini.

Niat Parti Warisan mahu mencetuskan kontrovesi terbongkar apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) dilaporkan mendakwa beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu telah ditawarkan wang dan kuasa sekiranya bersetuju untuk melompat parti bagi menyatakan sokongan terhadap Warisan.

Parti itu dikatakan cuba mengambil kesempatan apabila BN dan PN tidak dapat menentukan siapakah calon Ketua Menteri mereka beberapa hari lepas.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Akhirnya, keputusan tersebut diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah untuk pertimbangan namun mengejutkan pula pihak istana meminta sedikit waktu sebelum membuat keputusan.

Pelbagai ura-ura pula menyusul permintaan tersebut dengan kata lain Sabah akan kembali bergolak.

Akhirnya, satu persetujuan berjaya diputuskan dan Datuk Seri Hajiji Mohd Nor berjaya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri bagi GRS selepas kebuntuan selama dua hari.

Justeru itu, majlis angkat sumpah hari ini seharusnya mengakhiri kemelut politik yang dihadapi oleh Sabah sejak tahun 2018.

Itu satu-satu harapan rakyat Sabah yang telah keluar mengundi walaupun hadapi risko di jangkiti pandemik Covid-19.

Walau apa pun yang pasti, majlis angkat sumpah hari ini pasti akan terselit dalam sejarah politik Sabah yang sememangnya berwarna warni.

Cuma tidak dapat dipastikan sama ada ia bakal menjadi sejarah kerana mengakhiri sebuah kemelut politik ataupun diingati sebagai kesinambungan sebuah kemelut politik baharu di kemudian hari.

Keadaan masih boleh berubah-ubah untuk hari-hari akan datang dan ia satu kepastian. – MalaysiaGazette