Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (tengah) diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin menyampaikan penerima anugerah pasukan kerja LLC MPKlang 2019 dari Jabatan Bangunan, Nurdina Samsuri pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon di Hotel Premiere, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2020

KLANG – Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menangguhkan kebenaran pembukaan sebanyak 23 pasar di bawah pentadbirannya susulan jumlah kes positif Covid-19 semakin membimbangkan.

Yang Dipertuanya, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, walaupun pihaknya mendapat permintaan daripada komuniti setempat, namun ia perlu ditangguhkan sehingga kes baharu kembali menurun sekurang-kurangnya tiga bulan akan datang.

“Setakat ini kita ada 15 kes (Covid-19), kita pantau keadaan semasa, cuma kita akan bincang sikit esok dalam lembaga pengarah (MPK).

“Kalau keadaan begini, saya rasa kita kena tangguh dulu, kalau hari ini 15 kes, maknanya dia akan neutral semula lagi dua minggu.

“Kalau tiap-tiap hari kalau ada kes, atau selang sehari ada kes, sekurang-kurangnya dua atau tiba bulan jadi neutral balik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon MPK 2020 di Hotel Premiere hari ini.

Semalam, dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya, dekat sini, disahkan positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Menurutnya, kedua-dua pelajar berkenaan yang juga adik-beradik disyaki dijangkiti wabak itu daripada abang mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini.

Dalam pada itu, MPK akan menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pasar-pasar sedia ada yang mula beroperasi sejak 15 Jun lalu.

“Kita akan lihat semula (SOP) sebab masa dulu kes itu menurun, kita pun longgar (patuh SOP). Kemungkinan pasar yang belum buka itu kita tangguh dulu,” katanya.

MPK turut melahirkan kebimbangan terhadap kes baharu Covid-19 yang semakin meningkat di daerah Klang, apatah lagi tidak menunjukkan simptom wabak itu.

“Kita tengok angka ini pun kita pun risau cuma tinggal lagi kita tak nak panik, di mana mereka ini, adalah kes import, memang kawasan Klang ada Pelabuhan.

“Jadi kena minta nasihat daripada pihak kesihatan bagaimana nak kawal perkara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette