Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kawalan sempadan negara diperketatkan menerusi Operasi Benteng bagi menghalang daripada dibolosi oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 34 PATI dan empat penyeludup berjaya ditahan dalam Ops Benteng semalam.

Turut dirampas enam kenderaan darat.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebanyak 84 sekatan jalan raya di bawah Ops Benteng dilaksanakan semalam melibatkan Polis Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Angkatan Tentera Malaysia.

Dalam pada itu,  Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah menahan 98 individu di atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 95 individu telah dikompaun manakala tiga lagi direman.

Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 54,764 pemeriksaan semalam (29 September 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam (34), penjarakan fizikal (24), tidak memakai pelitup muka (22), gagal melunaskan caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (8).

Sebanyak 3,048 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,132 anggota telah membuat pemantauan di 3,521 pasar raya, 4,401 restoran serta 1,466 penjaja, 1,136 kilang, 3,511 bank dan 744 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, sebanyak 1,047 terminal pengangkutan darat, 207 terminal pengangkutan air serta 155 terminal pengangkutan udara.

Semalam (29 September 2020), PDRM telah menahan 98 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 95 individu telah dikompaun manakala 3 direman. – MalaysiaGazette