Petugas hospital, Dr. Fadhli Suhaimi berpakaian lengkap Powered Air-Purifying Respirator (PAPR) dilihat tekun menjalankan rawatan ke atas pesakit Covid-19 yang berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Terdapat satu kluster baharu dikenal pasti di Kedah yang dinamakan Kluster Tembok.

Kementerian Kesihatan Malaysia memberitahu, kes indeks kluster tersebut adalah seorang lelaki warganegara Malaysia yang merupakan kes kematian ke-135 yang dilaporkan pada hari ini.

Setakat jam 12 tengahari tadi, sejumlah 169 individu telah disaring yang mana tiga dikesan positif Covid-19 manakala 166 lagi masih menunggu keputusan.

“Saringan COVID-19 kes indeks didapati positif pada 28 September 2020. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua (2) lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Tembok dikenalpasti.

“Dua kes positif ini melibatkan dua warganegara Malaysia.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Korban ke-135 merupakan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 46 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, jantung dan buah pinggang.

Si mati mula mengalami gejala sejak 21 September 2020 dan hanya di bawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah akibat sesak nafas pada 28 September lalu.

Mangsa meninggal pada hari yang sama dan hasil saringan Covid-19 mendapatinya positif.

Menyentuh mengenai kluster-kluster sedia ada, KKM memaklumkan terdapat empat kes baharu dilaporkan bagi Kluster Benteng LD menjadikan jumlah kes sebanyak 879 dan setakat jam 12 tengahari tadi, sejumlah 11,846 individu telah disaring.

Berdasarkan keseluruhan jumlah kes positif Covid-19 di bawah kluster tersebut, 676 melibatkan banduan dan tahanan; 26 kes melibatkan kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan Penjara Tawau; 33 kes melibatkan ahli keluarga kakitangan dan banduan; 144 kes adalah kontak sosial.

Jumlah kes akan sentiasa dikemaskini dan kategori bagi kes positif mungkin akan berubah bergantung kepada maklumat terkini hasil siasatan di lapangan.

Bagi Kluster Bangau-Bangau, terdapat sembilan kes baharu menjadikan jumlah kes positif adalah 287 kes.

Setakat jam 12 tengahari tadi, seramai 458 individu telah disaring.

Bagi Kluster Bakawali di Johor pula, terdapat tujuh kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini adalah 11 dan melibatkan semua warganegara Malaysia.

Hanya terdapat satu kes baharu sahaja di bawah Kluster Sungai pada hari ini menjadikan jumlah kes positif setakat ini adalah 100 kes.

Seramai 25,406 individu telah disaring namun begitu saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif masih diteruskan. – MalaysiaGazette