Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menandatangani surat cara pengratifikasian Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) bagi pihak Kerajaan Malaysia.

TPNW yang dimeterai pada 7 Julai 2017 merupakan suatu larangan menyeluruh terhadap semua aktiviti berkaitan senjata nuklear, antara lain, pembangunan, pengujian, pembuatan, perolehan, pemilikan, penyimpanan stok, penggunaan serta penempatan.

Triti tersebut juga merupakan kali pertama ancaman penggunaan senjata nuklear diharamkan di bawah undang-undang antarabangsa.

Pengratifikasian TPNW oleh Malaysia, katanya, adalah suatu usaha penting ke arah pelucutan senjata nuklear di persada antarabangsa.

”Tindakan ini juga mencerminkan komitmen dan sokongan Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap penghapusan senjata nuklear secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di sini.

TPNW akan mula berkuatkuasa di peringkat antarabangsa 90 hari selepas surat cara pengratifikasian ke-50 disampaikan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sehingga kini, sebanyak 46 buah negara telah meratifikasi Triti tersebut.

Malaysia menandatangani TPNW sebaik sahaja ianya dibuka untuk tandatangan pada 20 September 2017.

Dengan meratifikasi Triti tersebut, Malaysia menyumbang kepada berkuatkuasanya TPNW di peringkat antarabangsa dan menggesa negara-negara lain untuk mengikuti langkahnya.

”Apabila ia berkuatkuasa di peringkat antarabangsa kelak, TPNW akan melengkapi undang-undang antarabangsa berhubung pelucutan senjata nuklear, termasuk Triti Mengenai Ketakcambahan Senjata Nuklear (NPT).

”TPNW juga akan mengukuhkan lagi norma bahawa senjata nuklear tidak boleh diterima sama sekali, tidak boleh digunakan, tidak boleh diancam untuk digunakan dan perlu disingkirkan dan dihapuskan dengan kadar segera,” tambah beliau.

Hishammuddin berharap TPNW akan mengubah wacana mengenai pelucutan senjata nuklear daripada perbincangan yang dikuasai oleh Negara-negara kuasa nuklear dan negara-negara bersenjata nuklear, kepada perbincangan yang lebih demokratik, saksama dan di mana semua negara mempunyai suara yang sama penting.

Menurut beliau, Malaysia menyeru agar semua negara meratifikasi TPNW secepat mungkin dan negara ini akan
bekerjasama untuk merealisasikan matlamat dunia bebas daripada ancaman senjata nuklear. – MalaysiaGazette