MCA
PRN Johor membawa cabaran bagi MCA untuk memastikan kemenangan kerusi yang ditandingi kelak.

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas mesti berani menolak permintaan MCA sekiranya parti berasaskan kaum itu berkeras mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua Biro Perhubungan dan Komunikasi Berjasa, Zamani Ibrahim menegaskan, sekiranya MCA tetap dipertaruhkan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil peranan menggantikan kedua-dua parti itu demi maruah dan kepentingan masyarakat di kawasan majoriti Muslim.

Katanya, MCA sebenarnya sudah tamat tempoh bagi kaum Cina, justeru beliau hairan apabila ada lagi parti Melayu dan Islam yang masih tidak sedar tarikh ‘expired’ itu.

“Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, MCA sudah tidak laku bagi masyarakat Sabah termasuk kaum Cina di sana.

Biarpun menyedar hakikat ini, MCA akan bermati-matian untuk mempertahan kerusi tradisi pada PRU-15 nanti di kawasan majoriti Muslim.

“Inilah masanya terutama bagi UMNO dan tidak kurang juga bagi Pas untuk menunjukkan keberanian parti gergasi ini kepada masyarakat.

“UMNO dan Pas bukan parti yang masih bergantung harap kepada parti ‘expired’ iaitu MCA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamani mengingatkan Berjasa masih segar dengan prinsipnya bahawa kawasan majoriti Islam mestilah calonnya Muslim.

Beliau berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai November tahun lalu adalah satu ‘kajian kes’ kepada mana-mana parti yang ingin mempertahankan identiti nasional berteraskan Islam, Melayu dan institusi raja.

“Kecelaruan politik hari ini, Berjasa mempunyai agenda besar dan yakin mampu menjadi parti alternatif kepada rakyat.

“Berjasa adalah milik rakyat bukan milik individu atau kelompok. Mereka yang ikhlas, sayang kepada watan dan sanggup berjuang untuk mendaulatkan watan ini, sila bersama Berjasa” katanya.

Berdasarkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) malam tadi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – memperoleh majoriti mudah iaitu 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

MCA bertanding di empat kerusi dalam PRN Sabah iaitu di kerusi tradisi N.25 Kapayan serta tiga lagi kerusi baharu iaitu di N.55 Elopura, N.54 Karamunting dan N.19 Likas.

Bagaimanapun, parti itu kalah di semua kerusi yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. MCA perlu kerahkan pemimpin nya, akar umbinya mula bergerak untuk mengembalikan kekuatan MCA sebagaimana DSN lakukan. Mulakan dikawasan pengaruh DAP yg kuat dahulu, jangan tunggu untuk pilihanraya baru nak bergerak. Bangkitlah dari tidur wahai MCA. Jangan target kawasan majoriti melayu sahaja. MCA harus menunjukan kekuatan sendiri dan rakan2 komponen BN mesti membantu untuk mengembalikan kecemerlangan seperti mana dahulu.

Comments are closed.