SEMEMANGNYA kehadiran pandemik Covid-19 tidak dijangka dan telah memberikan impak kepada segenap urusan kita. Pelbagai inisiatif sains telah digerakkan bagi menyediakan penyelesaian melalui proses pengesanan, perawatan dan pencegahan. Dalam konteks ini, integrasi kepakaran sains termasuk bidang kimia diperlukan bagi menyumbang kepada pengawalan wabak secara holistik dan berkesan. Secara umumnya, ahli kimia seluruh dunia telah menyumbang dalam usaha mengenalpasti jenis virus berkenaan, mencari kaedah perawatan baharu serta membantu prosedur nyah kuman dan
sanitasi.

Melalui peringatan awal, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan dan penyebaran Covid-19. Antaranya kita perlu memastikan tangan dicuci dengan air dan sabun secara lebih kerap. Kaedah ini telah dibuktikan berkesan dalam menghalang penularan jangkitan hasil dapatan kajian makmal seawal tahun 1847 lagi. Walaubagaimanapun, inisiatif penjagaan kebersihan tersebut kurang praktikal dalam keadaan yang memerlukan pergerakan atau terdapat keperluan berhubung dengan pesakit secara kerap.

Justeru, pensanitasi tangan berasaskan alkohol adalah dicadangkan. Semasa wabak Covid-19 bermula, bahan sanitasi ataupun nyah kuman yang berasaskan alkohol agak sukar diperolehi berikutan permintaan dan penggunaan yang tinggi. Setiap universiti termasuk Universiti Teknologi Malaysia telah merintis bantuan untuk menyediakan pensanitasi tangan menggunakan kemudahan dan sumber universiti. Pasukan sukarelawan universiti juga ditubuhkan bagi menyalurkan bantuan pensanitasi tangan yang secukupnya kepada barisan hadapan dan masyarakat awam.

Formulasi WHO boleh digunakan sebagai panduan asas bagi menyediakan pensanitasi tangan dengan mengambil kira keberkesanan kos, tetapi tetap berkeupayaan membunuh bakteria atau virus memberbahaya. Telah dibuktikan, pensanitasi tangan dengan kepekatan alkohol antara 60-95% adalah berkesan untuk digunakan. Penggunaan jenis etanol 96% dan isopropil alkohol 99.8% turut disarankan sebagai sumber alkohol. Dengan kefahaman, alkohol berkeupayaan mengubahsuai (denature) struktur protein serta memusnahkan dinding sel dan membran sel bakteria atau sampul (envelope) koronavirus.

Selain itu, bahan kimia hidrogen peroksida diperlukan bagi menyah aktif spora bakteria dalam larutan sanitasi serta mengelakkan pencemaran daripada bakteria. Bahan gliserol juga ditambah bagi melindungi kulit daripada kekeringan dan mengelakkan penyakit kulit dermatitis. Kini terdapat pelbagai jenis pensanitasi tangan yang dijual di pasaran dengan bahan tambahan lain. Misalnya, bahan pewangi seperti minyak pati digunakan bagi mengurangkan bau daripada alkohol. Harus diingat, setiap bahan tambahan perlu dipastikan tidak menyumbang kepada ketoksikan, menyebabkan alahan atau menganggu sifat bioaktiviti pensanitasi tangan.

Dalam hal ini, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) berperanan utama dalam mengawal selia perihal kesihatan dan keselamatan pensanitasi tangan. Dengan itu, setiap pengeluaran produk tempatan terutamanya untuk masyarakat awam perlu didaftarkan dengan NPRA. Kawalan pencegahan COVID-19 juga memerlukan sumbangan kimia dalam proses nyah kuman di tempat awam, kawasan kerja, institusi pendidikan atau kediaman. Justeru, produk yang digunakan untuk nyah kuman perlu dipastikan mengandungi bahan kimia aktif dengan kepekatan yang betul.

 

Antara bahan kimia yang biasa digunakan adalah alkohol, ammonia kuaterner dan agen pengoksida. Walau bagaimanapun, WHO turut memberikan amaran berkenaan keberkesanan penyemburan bahan nyah kuman dalam ruang yang sempit dan tertutup seperti terowong, kebuk atau gerbang. Sebelum ini, terdapat cadangan untuk menyembur individu yang melalui ruang tersebut dengan bahan kimia nyah kuman dalam tempoh 20 hingga 30 saat. Tindakan ini sebenarnya membahayakan individu tersebut yang mengalami pendedahan secara terus dengan bahan kimia.

Kementerian Kesihatan Malaysia turut memaklumkan jangka masa tersebut tidak memadai untuk proses nyah kuman yang berkesan. Selain tidak membunuh kuman di dalam badan manusia, bahan kimia tersebut dibimbangi memudaratkan selaput badan seperti mata dan mulut. Sumbangan kimia juga diperlukan dalam kajian menggunakan ubat sedia ada yang dinilai semula untuk tujuan merawat pesakit Covid-19. Ini bermakna jangka masa penyediaan ubat boleh disingkatkan kerana sebahagian data awal seperti sifat ketoksikan ubat telah direkodkan.

Dalam konteks ini, pembangunan kaedah penyediaan ubatan berkenaan dapat diusahakan melalui penerokaan tindak balas kimia dengan bilangan langkah yang lebih pendek tetapi menghasilkan kuantiti yang tinggi. Dengan itu, sumber ubat dapat disediakan dalam jumlah yang mencukupi serta bersegera bagi tujuan penilaian keberkesanan dan keselamatan sebagai ubat Covid-19. Dalam laporan awal, terdapat beberapa jenis ubatan yang berpotensi untuk merawat pesakit Covid-19 seperti Chloroquine/Hydroxychloroquine, Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Favipiravir and Interferon beta. Negara kita juga terlibat dalam penyelidikan SOLIDARITI di bawah penyeliaan WHO bagi mengkaji keberkesanan dan keselamatan ubatan berkenaan.

Kita belum menang. Justeru, penyelesaian pandemik Covid-19 memerlukan sinergi daripada pelbagai bidang sains termasuk kimia. Usaha bersama dalam pembangunan kaedah pengesanan virus yang cepat dan tepat serta pencarian vaksin perlu diteruskan. Covid-19 telah membuka ruang baharu bagi kemajuan bidang kimia bagi menyelesaikan permasalahan semasa. Tentunya penglibatan saintis adalah penting dalam mengupayakan inisiatif sains secara berterusan untuk mensejahterakan kehidupan semua.

Oleh: Prof. Madya ChM. Dr. Zaiton Abdul Majid
Timbalan Dekan, Fakulti Sains, UTM dan
ChM. Dr. Mohd Bakri Bakar, Pensyarah Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UTM