Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Mr Vach Pillutla (kiri) meluangkan masa melihat barangan pakaian sukan pada Majlis Perasmian Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2020 di Al-Ikhsan Sports, Pusat Membeli Belah MyTown, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM100 bilion menerusi Kempen Beli barangan Malaysia (KBBM) 2020.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya yakin sasaran terhadap nilai jualan itu akan dapat dicapai sehingga hujung tahun ini dengan penyertaan lebih banyak lagi syarikat-syarikat yang akan mengambil bahagian dalam kempen tersebut.

“Dalam masa Covid-19 ini pembeli-pembeli bukan sahaja datang secara fizikal tetapi saya difahamkan seperti syarikat Al-Ikhsan ada menjual secara online.

“Jadi, kalau takut nak keluar untuk membeli barangan mereka boleh menggunakan peluang ini untuk membeli secara atas talian. Sebab itu kita yakin akan dapat menepati sasaran RM100 bilion ini sampai penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Jualan Negaraku Selamat dan Aktif sempena Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2020 di sini hari ini.

Mengulas lanjut Nanta Linggi berkata, kes Covid-19 yang turut melibatkan beberapa gedung beli-belah sebelum ini tidak menjejaskan pengguna untuk berbelanja kerana mereka boleh berbuat demikian menerusi atas talian.

Katanya, meskipun pihaknya giat mempromosikan KBBM dan PJM bagi menggalakkan rakyat keluar berbelanja, namun kementerian menyeru orang ramai agar mematuhi Posedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Rakyat masih boleh menyumbang kepada ekonomi dan mengambil bahagian di dalam kempen KBBM dan PJM dengan membuat pembelian atas talian.

“KPDNHEP sentiasa memainkan peranannya dalam membendung penularan wabak Covid-19 dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk peniaga dan pengguna serta agresif dalam mempromosikan dan membuat kerjasama bersama pelbagai platform e-commerce,” ujarnya. – MalaysiaGazette