Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa semua parti politik tanah air terutamanya pihak Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional untuk melaksanakan ‘gencatan politik’ buat sementara waktu di kala negara dilanda gelombang kedua Covid-19 yang menggerunkan rakyat.

Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata, semalam telah dilaporkan 287 kes baru Covid-19 menjadikan ia jangkitan harian paling tinggi sejak wabak ini menular dan lebih membimbangkan, semua kes semalam merupakan penularan tempatan dan ini menjadikan bilangan kes positif terkumpul sebanyak 11,771 kes.

“Tidak dinafikan bahawa gelombang penularan Covid-19 pada kali ini berkait rapat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Seperti semua sedia maklum, PRN Sabah dilaksanakan kerana konflik politik Sabah sehingga berlakunya pembubaran DUN Sabah.

“Semua ahli politik perlu mengambil iktibar daripada rentetan krisis politik Sabah sehingga menyebabkan penularan wabak Covid-19 pada kali ini. Sekali lagi DPIM
menggesa agar pemimpin politik memikirkan keresahan dan kebimbangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat erlu menumpukan masa, tenaga dan keringat beliau untuk membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita.

“Usaha menjatuhkan Perdana Menteri bermakna bakal menyebabkan pembubaran Parlimen, seterusnya pilihan raya umum seluruh negara.Dengan keruncingan penularan Covid-19 hari ini, PRU adalah langkah yang bakal
membahayakan seluruh rakyat Malaysia dan meranapkan ekonomi negara,” katanya.

Justeru pihaknya menyeru semua presiden parti-parti politik untuk
memberikan fokus mereka kepada penyelesaian isu rakyat, terutama membendung Covid-19.

Beliau berkata, sudah terbukti bahawa seluruh barisan hadapan dan rakyat negara kita telah berjaya melandaikan penularan Covid-19 pada peringkat awal, sehingga diiktiraf antara negara terbaik di dunia dalam mengekang wabak ini.

“Jangan sia-siakan jasa dan pengorbanan rakyat yang telah memberikan jiwa dan raga mereka untuk negara,” katanya.- MalaysiaGazette