Arkib Seorang peniaga duduk termenung menunggu pelanggan yang berkurangan sejak kes penularan Covid-19 semakin meningkat di Sabah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Besar Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR- Perniagaan seperti restoran, kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka dan stesen minyak di Sabah dibenarkan beroperasi di antara jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja sepanjang Kawalan Rentas Daerah yang dilaksanakan bermula hari ini.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi pasar harian dibenarkan bermula jam 6 pagi hingga 2 petang sahaja manakala pasar malam, pasar tani, tamu dan pasar borong dibenarkan beroperasi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Perkhidmatan teksi dan e-hailing pula dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 8 malam.

“Perkara ini dicadangkan oleh kerajaan negeri Sabah sendiri dan kami (kerajaan Persekutuan dan Majlis Keselamatan Negara) bersetuju.

“Untuk maklumat yang lebih terperinci mengenai SOP, boleh lawati laman sesawang Majlis Keselamatan Negara,” katanya semasa sidang media khas hari ini.

Kawalan rentas daerah di seluruh Sabah akan dilaksanakan berkuat kuasa hari ini sehingga 16 Oktober depan.

Namun, katanya, perkhidmatan perlu (essential services) seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

Tambahnya, kawasan Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikira sebagai satu daerah yang sama iaitu Kota Kinabalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast