Abang Johari Tun Openg

KUALA LUMPUR – Walaupun Datuk Abang Johari Abang Openg membayangkan akan mengadakan Pilihan Raya Negeri Sarawak pada bila-bila masa sahaja, namun kenyataan  itu diyakini sekadar bayangan sahaja.

Ini kerana, selaku ketua pentadbir yang bertanggungjawab kepada rakyat Sarawak selama ini, Abang Johari sudah pastinya tidak akan memperjudikan keselamatan dan kebajikan rakyat negeri itu.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Jeniri Amir yakin apa yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Sarawak itu sekadar satu bayangan sahaja tetapi mungkin bukan dalam tempoh singkat ini.

Tidak rugi jika pengundi di Parlimen Port Dickson memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 Oktober ini, kata penganalisis politik, Dr Jeniri Amir.
Dr Jeniri Amir

“Maksud pada bila-bila masa itu mungkin dalam tempoh tiga bulan, enam bulan. Saya yakin Abang Johari juga memantau kebimbangan rakyat Sarawak tentang penularan Covid-19.

“Beliau juga pastinya tidak mahu memberi risiko kepada Sarawak memandangkan kes jangkitan pandemik ini adalah isu negara yang menjadi tumpuan sekarang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Abang Johari memberi gambaran pilihan raya negeri itu akan diadakan bila-bila masa sahaja dari sekarang meskipun kes Covid-19 di Malaysia menunjukkan peningkatan saban hari.

“Saya ingin menyampaikan mesej ini bahawa dram akan dibunyikan. Kayu dan dram juga telah bersedia.

“Apabila dram diketuk pada bila-bila masa dari sekarang, kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan PBB dan GPS dalam pilihan raya tersebut,” katanya dalam konvensyen mini khas PBB di Sibu, Sarawak.

Mengulas lanjut, Jeniri berpendapat, walaupun memang sepatutnya Sarawak mengadakan pilihan raya tetapi Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak perlu dalam keadaan tergopoh-gapah seperti Sabah.

Jelasnya, landskap politik di kedua-dua negeri ini ternyata berbeza kerana Parti Warisan Sabah dalam keadaan yang tidak stabil.

Sedangkan GPS pula teguh dan mempunyai majoriti dua per tiga.

“GPS tidak perlu berasa goyah berdasarkan prestasi cemerlang Abang Johari yang  mengutamakan rakyat dalam pelbagai aspek, selain pembangunan negeri – sama ada di bandar dan luar bandar,” ujar beliau. – MalaysiaGazette