Gambar hiasan

SINGAPURA – Harga minyak naik 1% dalam dagangan hari ini, didorong oleh kenyataan para doktor bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan dibenarkan keluar hospital seawal-awalnya hari Isnin.

Kesihatan Trump yang sebelum itu mencetuskan ketidaktentuan politik dalam pasaran-pasaran global telah memacu harga Brent kepada AS$39.78 setong, meningkat sebanyak AS$0.52 atau 1.3%.

Manakala minyak AS, West Texas Intermediate didagangkan kepada A$37.64 setong, naik AS$0.59.

Harga bahan bakar itu telah merosot lebih daripada 4% pada hari Jumaat disebabkan ketidakstabilan kesihatan Trump yang disahkan positif Covid-19,  selain kebimbangan pasaran lonjakan kes koronavoris yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi global.

Tetapi harga minyak melantun semula pada hari Isnin disebabkan kebimbangan terhadap keadaan kesihatan Trump berkurangan meskipun kedudukan sebenar Presiden masih kabur.

“Saya rasa ia disebabkan kesihatan Trump yang semakin pulih….sepanjang hujung minggu terdapat konflik laporan-laporan kesihatannya, tetapi secara amnya dia semakin baik,” kata Avtar Sandu, Pengurus Komoditi Kanan, Phillip Futures. – MalaysiaGazette