Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaa sedang meneliti cadangan untuk menghadkan majlis dan perhimpunan orang ramai bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuk persidangan besar, kenduri kahwin serta majlis perhimpunan orang ramai.

“Walaubagaimana pun, kerajaan akan mendapatkan input dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum melaksanakannya termasuk cadangan mengadakan SOP tambahan jika perlu.

“Yang amat dikehendaki pada masa ini ialah kita semua mesti patuh kepada SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Petugas barisan hadapan dari agensi-agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat-tempat awam untuk memastikan pematuhan. Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat.

“Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan!” katanya semasa perutusan khas mengenai Covid-19 hari ini.

Menyentuh mengenai kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak di sekolah, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sentiasa memantau perkembangan kes-kes Covid-19 di negara ini.

Tegasnya, setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah-sekolah di kawasan zon merah sahaja iaitu di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

“Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa memantau keadaan kes COVID di sekolah di seluruh negara. Jika ada sebarang kes COVID-19 melibatkan warga sekolah, KPM akan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menanganinya.

“Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan akan memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid, guru dan kakitangan sekolah.

“Jika perlu, keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 setelah menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette