Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali mengesahkan beliau sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga 16 Oktober ini atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ini kerana beliau telah menghadiri satu mesyuarat yang sama dengan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 3 Oktober lalu.

Zulkifli disahkan positif Covid-19 dua hari kemudian.

“Saya telah menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan alhamdulillah, keputusannya adalah negatif.

“Saya akan meneruskan kuarantin kendiri sebagaimana yang disarankan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Zuki, situasi tersebut bagaimanapun tidak mengganggu urusan pentadbiran perkhidmatan awam kerana beliau tetap meneruskan tugasnya dari rumah dan akan memanfaatkan aplikasi digital serta teknologi bagi menyelesaikan urusannya.

Beliau turut mengingatkan ketua-ketua jabatan supaya memberikan pelepasan khas atau memberi kebenaran bekerja dari rumah kepada petugas-petugas yang disahkan mempunyai simptom Covid-19 atau mempunyai kontak rapat dengan individu yang telah dijangkiti virus berkenaan.

Ini katanya sejajar dengan Garis Panduan Pengendalian Isu-Isu Berhubung Covid-19 di Premis Kerajaan bertarikh 16 Mac 2020.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast