Penumpang dari Sabah yang menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2020.

NEGARA kita pada awalnya sudah kelihatan hampir untuk berjaya menangani penularan pandemik Covid-19. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi dengan jayanya oleh seluruh rakyat Malaysia.

Namun, rakyat dikejutkan dengan gelombang kedua pandemik ini yang mengakibatkan jumlah kes mencecah lebih tinggi daripada gelombang yang pertama. Punca utama masalah ini berlaku adalah disebabkan beberapa ahli politik yang pergi ke Sabah
pada tempoh yang lalu dengan berhasrat untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri Sabah.

Namun, kedegilan mereka tidak menunaikan tanggungjawab untuk mengkuarantinkan diri di rumah selepas pulang daripada negeri tersebut. Akibatnya, beberapa ahli politik telah dikesan positif Covid-19 dan mereka pada sebelumnya telah didapati menjalankan aktiviti seperti biasa dengan masyarakat di semenanjung Malaysia.

Ahli politik sepatutnya menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat. Bukanlah dengan cara memberi imej yang tidak baik kepada masyarakat. Mahasiswa di seluruh negara ini menjadikan
anda semua idola mereka, jadi berikanlah satu teladan yang patut dicontohi.

Selain itu, gelombang kedua ini telah mengakibatkan pendaftaran bakal mahasiswa baharu di setiap Institut Pengajian Tinggi (IPT) terpaksa ditangguhkan. Mereka ini diarahkan untuk pulang
semula ke rumah dan bersiap sedia untuk menjalani kehidupan sebagai mahasiswa secara atas talian.

Tindakan ahli politik ini memberikan rasa kecewa kepada bakal mahasiswa baharu kerana tidak dapat menjalani kehidupan di IPT. Namun, saya harap pihak kerajaan dan pembangkang dapat
mengambil iktibar atas hal ini, seterusnya bekerjasama untuk memulihkan semula keadaan negara kita.

Muhammad Harith Najmi Salehuddin, Timbalan
Pengerusi Mahasiswa Keadilan Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MKM UKM)