KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk meminda tarikh perlawanan CIMB Liga Super melibatkan Sabah dan UiTM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu disebabkan daerah itu telah diisytihar zon merah Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, venue bagi perlawanan itu di Stadium Likas, Kota Kinabalu akan dimaklumkan kelak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan.
Selain itu, pindaan jadual perlawanan turut membabitkan pertemuan Perak menentang Kedah di Stadium Perak, Ipoh dan Terengganu FC (TFC) menentang Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak berdasarkan faktor perebutan tempat kedua CIMB Liga Super 2020 dan perlawanan menentukan kedudukan bagi undian TM Piala Malaysia.
“Perlawanan Perak menentang Kedah dan TFC bertemu Pahang yang sebelum ini dijadualkan pada Sabtu ini telah dipinda pada Ahad ini.
“Lanjutan daripada itu, pihak Sekretariat MFL sedang mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan bagi penjadualan semula dan tarikh itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat sebelum undian TM Piala Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini
Dalam perkembangan sama, Ab Ghani memaklumkan pindaan jadual pertandingan CIMB Liga Super 2020 ini akan menyebabkan perubahan tarikh sepak mula bagi pertandingan TM Piala Malaysia 2020 peringkat pusingan pertama 16 pasukan.
Susulan pindaan jadual itu menyaksikan undian TM Piala Malaysia 2020 yang sebelum ini diadakan pada 12 Oktober 2020 ditunda pada 19 Oktober 2020 sebelum kejohanan paling tertua di Asia Tenggara itu membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober 2020 berbanding jadual asal pada 16-18 Oktober 2020.
Penangguhan itu juga dibuat selepas MFL amat prihatin dengan situasi semasa pandemik Covid-19 di negara yang agak membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan kes.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan keadaan semasa Covid-19 yang sedang meningkat dan MFL berprihatin kepada permasalahan yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette