Donald Trump yang menerima rawatan koronavirus kembali bekerja selepas disahkan sihat. foto Reuters

WASHINGTON – Presiden Donald Trump tidak mempunyai gejala Covid-19 selama lebih 24 jam dan tidak demam selama lebih dari empat hari, kata doktor peribadinya.

Dr Sean Conley juga mengatakan bahawa presiden tidak memerlukan oksigen tambahan sejak dibawa ke hospital pada hari Jumaat.

“Pemeriksaan fizikal, ketepuan oksigen dan kadar pernafasan, semuanya tetap stabil dan normal,” menurut laporannya.

Malah, makmal mendapati tahap antibodi SARS-CoV-2-IgG dapat dikesan pada hari Isnin 5 Oktober berbanding laporan antibodi pada Khamis lalu tidak dapat dikesan.

”Kami akan terus memantau dengan teliti dan saya akan memberitahu anda jika saya ada maklumat lebih banyak,” kata Conley.

Trump telah dibenarkan keluar hospital pada Isnin lalu.

Kenyataan oleh Conley itu menjelang perdebatan kali kedua antara Trump dan Joe Biden tidak lama lagi.

Trump memaklumkan beliau berasa sihat dan akan kembali bekerja, kata White House.

Banyak pemerhati menganggap perdebatan antara Trump dan pencabarnya dari Demokrat, Joe Biden sebagai “jelek” dan “kacau”.

Malah, debat kali pertama yang diadakan pada 29 September lalu didakwa tidak memperkatakan tentang dasar sebaliknya ia lebih kepada gangguan dan penghinaan.

Dalam pada itu, White House telah melaksanakan langkah-langkah keselamatan baharu selepas Trump kembali dari hospital dan beberapa pembantunya disahkan positif Covid-19.

Pilihan Raya Presiden akan diadakan pada 3 November ini. – MalaysiaGazette