Tan Sri Shahrir Abdul Samad UMNO party
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) membuat keputusan yang tepat apabila tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, politik tidak terdorong oleh kuasa semata-mata.

”Sekali lagi BN tidak akan menyertai pilihan raya kecil Batu Sapi. Kali ini kerana kepentingan awam dalam suasana pandemik Covid-19,” katanya dalam hantaran di Facebook di sini.

Menurutnya, pertama kali BN tidak meletakkan calon adalah pada PRK pada tahun 1975 selepas Fan Yew Teng (DAP) hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat Menglembu.

Ketepatan keputusan Allahyarham Tun Abdul Razak disahkan tepat apabila mahkamah menolak kehilangan kelayakan Fan Yew Teng dan pilihan raya kecil Menglembu turut dibatalkan.

”Indah betul apabila Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman masing-masing tersendiri dan bebas. Benar-benar pemisahan kuasa. Ianya juga pemerintahan Rule of Law dan bukan Rule of Men,” katanya.

PRK di Parlimen itu akan dibuat selepas Liew Vui Keong meninggal dunia selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu sejak 9 September lalu.

Mendiang dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. – MalaysiaGazette