Selepas mendengar keluhan warga penjara yang dikuarantin, Ustaz Ebit Liew segera menghantar bantuan makanan dan barangan asas di Penjara Alor Setar dan Penjara Pokok Sena, semalam.

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia berharap isu bantuan yang diterima Penjara Alor Setar dan Pokok Sena dari penceramah bebas yang juga usahawan, Ustaz Ebit Liew semalam, tidak dipolitikkan.

Menurut kenyataan Penjara Malaysia, jabatan itu sentiasa mengalu-alukan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan bagi meringankan beban kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19 yang melanda institusi penjara.

“Kita mengucapkan penghargaan kepada Ustaz Ebit Liew yang tampil membantu dan memberikan sumbangan kepada pihak penjara atas semangat kesukarelaan, semalam.

“Jabatan Penjara Malaysia sangat bersyukur dan bernasib baik kerana terdapat pelbagai NGO mahupun orang perseorangan tampil menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk untuk membantu Penjara yang terkesan dengan permasalahan itu,” kata kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penjara Malaysia kepada media, hari ini.

Jabatan itu mengulas bantuan segera yang diterima Ustaz Ebit Liew berbentuk tilam, bantal, tuala, cadar, kipas dan pelindung mula serta barangan makanan dan barang asas untuk keperluan kira-kira 200 warga Penjara Malaysia.

Ustaz Ebit melalui laman sosialnya, mengucapkan syukur dan berdoa semoga Allah selamat dan permudahkan warga Penjara Alor Setar dan Pokok Sena di Kedah yang sedang menjalani proses kuarantin.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya memberikan jaminan, pengurusan penjara sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap hal ehwal kebajikan warga jabatan yang berada di bawahnya.

“Ini merupakan amalan dan kerjasama biasa dijalin antara jabatan ini bersama NGO atau individu persendirian yang tampil membantu bagi tujuan tersebut.

“Oleh demikian, pihak jabatan berharap isu ini tidak dipolitikkan bagi tujuan yang boleh memudaratkan maksud asalnya,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette