Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Susulan peningkatan kes Covid-19, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan cadangan MKN Sabah, sebanyak enam kampung di Semporna dan sebuah kampung di Kunak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 35,643 penduduk di tujuh lokaliti tersebut tidak dibenarkan keluar rumah manakala bekalan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri dengan dikoordinasi oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.

Berikutan perintah itu juga, semua laluan keluar masuk kawasan PKPD akan ditutup, aktiviti-aktiviti ekonomi tidak dibenarkan beroperasi, rumah-rumah ibadat, masjid dan sekolah juga akan ditutup.

Aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya juga tidak dibenarkan.

“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat ,” katanya semasa sidang media di Facebook hari ini.

Berikut adalah enam lokaliti yang dikenakan di Semporna:

1. Kampung Bangau-Bangau

2. Kampung Panji

3. Kampung Air

4. Kampung Selamat

5. Kampung Simunul

6. Kampung Pinggir Bakau

PKPD di Kunak hanya melibatkan Kampung Pangkalan.

Untuk maklumat lanjut, Ismail Sabri menyarankan orang ramai untuk merujuk laman web MKN.- MalaysiaGazette