Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan semua ahli Parlimen mereka kekal menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui negara.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ahli Parlimen Bersatu menyifatkan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat membentuk kerajaan baharu sebagai satu lagi dakwaan tidak berasas.

“Semua ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa memberikan sokongan penuh tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 dan tidak terlintas sedikit pun untuk berpendirian sebalikya.

“Dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu adalah sebuah dakwaan tidak berasas dan bersifat rekaan semata-mata.

“Percaturan beliau untuk menubuhkan kerajaan baharu ini membuktikan bahawa beliau seorang ahli politik yang mementingkan diri dan sanggup meletakkan cita-cita peribadi ingin menjadi Perdana Menteri melampaui segalanya sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan rasmi parti itu hari ini.

Ia berikutan kenyataan terbaharu Ketua Pembangkang itu yang memaklumkan beliau sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk menghadap baginda bagi mempersembahkan jumlah majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya membentuk kerajaan baharu.

Menerusi satu kenyataan, Presiden PKR itu berkata beliau dijadualkan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa depan.

Hamzah juga berkata dakwaan Anwar juga telah menambahkan kebimbangan dalam kalangan rakyat ketika ini yang amat bergantung kepada kerajaan dalam mengekang gelombang ke-3 penularan wabak Covid-19.

“Sehubungan dengan itu, Bersatu menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk tidak menghiraukan dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson serta terus memberikan kerjasama padu kepada kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 dan seterusnya memulihkan semula ekonomi negara,” katanya lagi.

Pada 23 September lalu, Anwar mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis. – MalaysiaGazette