Semua sekolah di kawasan zon merah di Petaling, Selangor akan ditutup bermula esok sehingga 25 Oktober ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua sekolah di kawasan zon merah di Petaling, Selangor akan ditutup bermula esok sehingga 25 Oktober ini.

Ia melibatkan sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling dan bilangan itu merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Senarai sekolah yang ditutup di zon merah daerah Petaling dilampirkan bersama-sama untuk rujukan ibu bapa,
penjaga dan warga sekolah,” ujarnya dalam satu kenyataan KPM hari ini.

Untuk makluman juga, senarai yang sama akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di
www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM.

Menurut kenyataan yang sama, sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup.

“Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang. Bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya.

Dalam tempoh penutupan sekolah, pengetua dan guru besar akan
memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.
Bagi kebanyakan sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.

Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerahdaerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa faedah Pakatan Hancing buat PRU di Sabah?

    Dahulu ketika semua negara menutup pintu untuk pelancong2 China yang membawa virus COVID-19, Pakatan Hancing pula membuka pintu seluas2nya!

    Sekarang semua menikus?

Comments are closed.