Istana Negara.- Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Istana Negara mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa telah memberi sokongan kepadanya.

Sebaliknya Presiden PKR itu hanya mengemukakan jumlah ahli-ahli Parlimen tanpa menamakan mereka untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah telah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda telah berkenan menerima menghadap Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang itu pada jam 11 pagi tadi.

Sesi itu berlangsung selama kurang 25 minit.

Artikel berkaitan: Anwar tiba di Istana Negara, mohon dipermudahkan segala urusan hari ini

Anwar selesai menghadap Agong, jangka adakan sidang media

”Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa
memberi sokongan kepada beliau.

”Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dalam kenyataan.

Pertemuan itu dibuat selepas sesi menghadap yang sepatutnya berlangsung pada 22 September 2020 ditangguhkan ekoran kegeringan baginda dan menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 21 September hingga 3 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Langkah Non mengadap YDPA nampaknya telah selesai!

    Tengoklah nanti langkah seterusnya? Non dari segi pengamatan dan sejarah mempunyai pelbagai LANGKAH2 didalam pemikirannya?

    Sama2 tunggu! Siapa yang kena?

  2. Kalau hanya bagitahu nombor sahaja, rasanya Mat Sabu pin layak jadi PM, ramai MP-MP suka dia bila berbahas di parlimen.

Comments are closed.