Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA- Belanjawan 2021 masih menumpukan bantuan kepada golongan yang mudah terjejas Covid-19 walaupun kerajaan telah menyediakan rangsangan bernilai RM300 bilion sebelum ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia teras pertama dalam empat teras utama dalam pembentangan belanjawan pada pada 6 November ini.

“Belanjawan ini akan menyediakan satu lagi bentuk bantuan dan sokongan kepada golongan itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagi teras kedua, Muhyiddin berkata, Belanjawan 2021 akan menumpukan sokongan kepada industri melalui insentif tertentu setelah langkah-langkah pemulihan dilaksanakan manakala teras yang lain termasuklah memperkasakan penyampaian perkhidmatan dan membangunkan kehidupan yang lestari.

Menurutnya, ia bertujuan untuk membendung kelompok B40 daripada terjerumus ke paras kemiskinan dengan menyediakan ‘jaringan keselamatan’ yang kukuh.

“Hasrat saya adalah untuk menjadikan rakyat dan perniagaan lebih bertahan, bagi menghadapi keadaan yang tidak menentu akibat Covid-19 dan demi kemajuan negara,” ujarnya.

Menurut Muhyiddin, fokus belanjawan akan masih lagi tertumpu kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa dan mengekalkan mata pencarian rakyat.

“Ini kita akan tumpukan kepada tiga tonggak utama iaitu memperkasakan rakyat, menyokong perniagaan dan terus memperkukuhkan ekonomi.

“Di samping kita hendak pastikan agar kesihatan awam dan sokongan buat barisan hadapan yang telah dilakukan selama ini dapat diteruskan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, individu dan syarikat masih boleh mengadakan rundingan dengan institusi kewangan bagi mendapatkan moratorium.

Menurutnya, bank-bank akan terus memberi bantuan terhadap bayaran pinjaman mereka sehingga tahun hadapan berdasarkan keperluan dan keadaan kewangan pemohon.

“Jadi kalau ada kes pihak individu atau PKS terbabit, nasihat saya ialah masih boleh mengadakan perbincangan dengan institusi kewangan,” katanya.- MalaysiaGazette