Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di seluruh negeri Sabah mulai hari ini hingga dimaklumkan kelak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri tersebut.

Sehubungan itu, semua permohonan Janji Temu Online (JTO) ke semua pejabat dan kaunter KWSP di seluruh negeri Sabah akan dibatalkan serta merta.

Ahli yang telah membuat janji temu di semua pejabat KWSP di negeri Sabah yang dijadualkan dalam tempoh PKPB perlu membuat semula janji temu mereka setelah perintah kawalan tamat.

Bagaimanapun, katanya, ahli dan majikan masih boleh menggunakan perkhidmatan atas talian KWSP, iaitu i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan), yang beroperasi seperti biasa.

KWSP turut mengingatkan pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan Internet atau ejen bank berdaftar di kaunter dan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja.- MalaysiaGazette