Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Selepas disahkan berlaku peningkatan kes melibatkan Kluster Penjara Reman di Pulau Pinang, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan.

“Bagi mengawal penularan wabak ini dalam komuniti dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia, sidang khas hari ini memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Penjara Reman Negeri Pulau Pinang dan Kuarters Penjara Reman Negeri Pulau Pinang daerah Timur Laut, Pulau Pinang bermula 15 Oktober 2020” kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, dengan pelaksanaan perintah tersebut peegerakan seramai 2,830 orang yang merangkumi 2,306 banduan; 304 kakitangan penjara dan keluarga yang mendiami kuarters serta 220 kakitangan dan keluarga yang tidak mendiami penjara akan dikawal.

Tambah Ismail Sabri, pergerakan kakitangan adalah mengikut SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Makanan dan keperluan asas akan disalurkan yang akan diselaraskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Timur Laut.

Tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh PKPD pula akan diasingkan daripada tahanan yang lain.

Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, tahanan kemudiannya akan dikuarantin di tempat yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pulau Pinang sebelum dibebaskan.

Tahanan yang positif akan dirawat di hospital sebagai orang awam selepas tarikh pembebasan mereka, katanya lagi. -MalaysiaGazette