Seorang wanita menolak troli yang dipenuhi barang keperluan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang akan dilaksanakan pada esok hari berikutan penularan Covid-19 di pasaraya ST Rosyam Mart, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz akan memastikan rakyat dapat terus mencari rezeki dan perniagaan dapat terus berniaga semasa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

PKPB itu berkuatkuasa hari ini sehingga 28 Oktober ini.

Menteri Kewangan itu berkata, kelangsungan ekonomi perlu dilindungi untuk memastikan momentum pemulihan ekonomi dapat dikekalkan.

Menurut beliau, kerajaan telah mengambil pengalaman daripada langkah-langkah kawalan pergerakan yang lalu dan kesan langkah tersebut terhadap punca pendapatan dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

”Diingatkan bahawa PKPB ini berbeza dengan PKP yang dilaksanakan pada bulan Mac hingga Mei, di mana hampir keseluruhan aktiviti ekonomi seperti perniagaan, perkilangan dan gerai-gerai masih boleh beroperasi dengan mengikuti SOP (prosedur standard operasi) yang ditetapkan,” katanya sambil memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengimbangi kawalan pergerakan dan keperluan melakukan aktiviti seharian, demi untuk terus melindungi nyawa dan kehidupan.

Tengku Zafrul menambah, keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKPB ini setelah mengambil kira peningkatan kes baharu Covid-19 di kawasan-kawasan tertentu, dan juga corak penularan jangkitan wabak tersebut.

”Saya berharap semuanya tabah dan memahami bahawa tindakan ini diambil bagi melindungi rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette