Pengarah Drop and Wash, Zarina Ismail (kiri) bergambar bersama pemandu teksi, Mhd Johari Mhd Arshad (dua kiri) ketika membuat penyerahan bantuan makanan kepada 100 pemandu teksi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Flat PKNS, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 15 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib  pemandu teksi di ibu kota yang tidak menerima bantuan, Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bekerjasama dengan syarikat dobi, Drop & Wash menjayakan Bantuan Makanan Kering Asas Untuk Komuniti B40 itu. 

Seramai 100 pemandu teksi hari ini menerima bakul makanan berjumlah RM50 yang terdiri daripada beras, telur dan keperluan asas yang lain.

Projek agihan bantuan ini juga dikenali  sebagai #Food4B40.

Menurut Ketua Bahagian CSR Big Blue Taxi, Sarifah Said, usahasama itu diadakan sebagai inisiatif di antara kedua-dua belah pihak yang tidak meminggirkan kumpulan yang memerlukan bantuan.

“Data yang kami perolehi adalah daripada pemandu teksi yang berdaftar dengan Big Blue Taxie, di situ kami tahu siapa yang tidak menerima Bantuan Prihatian Nasional (BPN) sebelum ini,” ujarnya kepada MalaysiaGazette.

Bakul makanan tersebut adalah sepenuhnya daripada Drop & Wash yang menerima dana daripada Yayasan Hasanah Nasional.

Projek #Food4B40 ini jelas Sarifah akan dilakukan setiap dua minggu dan akan berterusan sehingga April tahun hadapan.

Terdahulu proses agihan bakul makanan dilakukan oleh petugas Big Blue Taxie dan Drop & Wash di Pangsapuri PKNS Jalan Tun Razak.

Turut hadir, pemilih Drop & Wash Zarina Ismail.

Selain itu turut dilakukan adalah proses sanitasi terhadap teksi-teksi yang menerima bantuan secara pandu lalu berikutan kawalan penularan wabak Covid-19.-MalaysiaGazette