KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia (TM) mengumumkan melaksanakan aturan “Kerja Dari Rumah” (WFH) bagi semua kakitangannya di seluruh negara sehingga 31 Oktober ini.

Menerusi kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, langkah ini diambil sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau turut  memaklumkan penutupan Menara TM dan TM Annexe 1 di Kuala Lumpur termasuklah nod rangkaian di Rawang selama tujuh hari selepas perkembangan terkini menyaksikan 13 pekerjanya dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.

Penutupan premis tersebut  jelasnya  untuk memudahkan proses sanitasi dilakukan seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kerja-kerja nyahkuman dan sanitasi di TM Annexe 1 dan nod rangkaian di Rawang telahpun selesai pada 14 Oktober 2020, Menara TM ONE pada 13 Oktober, manakala kerja-kerja di Menara TM sedang berjalan dan dijangka akan selesai pada jam 5.00 petang hari ini.

“Pejabat-pejabat TM di Sabah, Kedah dan kawasan- kawasan Zon Merah yang lain telahpun ditutup lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan jumlah kes baru-baru ini,” katanya.

TM kata Imri lagi turut menyediakan ujian swab Covid-19 secara percuma dengan kerjasama panel penyedia perkhidmatan kesihatannya untuk para anggota yang mungkin telah terdedah kepada virus
tersebut.

“Ini merupakan satu lagi langkah proaktif yang diambil oleh pihak Syarikat bagi membendung penyebaran virus dalam kalangan para anggotanya.

“Anggota-anggota yang telah dikenal pasti boleh menjalani ujian mulai 15 Oktober 2020 di kemudahan pandu-lalu sementara yang telah disediakan di Menara TM. Kemudahan ini juga akan dibuka di lokasi-lokasi yang lain, sekiranya perlu,” jelas beliau.

Katanya, seramai lebih 4,700 orang anggota fungsi kritikal di TMpoint, pusat-pusat panggilan, pasukan lapangan untuk pemasangan dan baik pulih perkhidmatan akan terus mengetuai barisan hadapan dalam berkhidmat untuk komuniti, perniagaan, dan Kerajaan di kawasan-kawasan Zon Merah.

TM terdahulu mengesahkan terdapat sepuluh lagi kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam kalangan para anggotanya; menjadikan jumlah 13 kes positif setakat ini.

Ini adalah tambahan kepada kawasan yang terjejas sebelum ini iaitu di Menara TM ONE di Damansara, Kuala Lumpur dan pejabat Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah.

Daripada 13 kes tersebut, pihakya ingin mengumumkan bahawa terdapat tiga orang anggota yang telah discaj dari hospital dan pusat kuarantin yang mereka masuki dan akan meneruskan pemulihan dan kuarantin di rumah selama 14 hari.

Sementara itu, baki 10 orang anggota kini sedang menerima rawatan.

Berikutan kes-kes positif yang baharu tersebut, pengesanan kontak rapat sedang dijalankan oleh KKM dibantu oleh Pasukan Tindak Balas Krisis (CRT) Covid-19 TM bagi mengenal pasti dan menghubungi mereka yang telah berhubung secara rapat dengan anggota-anggota terlibat.-MalaysiaGazette