Cristiano Ronaldo

LISBON – Portugal tidak mengalami sebarang masalah dengan  ketiadaan  Cristiano Ronaldo yang disahkan positif Covid-19.

Meskipun tanpa pemain itu, Portugal masih mampu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sweden, sekali gus kekal menduduki tangga teratas peringkat kumpulan saingan Liga Negara-Negara UEFA.

Dua gol Diogo Jota dan satu lagi menerusi Bernardo Silva mencukupi untuk Portugal mengutip 10 mata menyamai Perancis di tangga kedua Kumpulan 3 Liga A.

Ronaldo turut menyaksikan perlawanan itu di televisyen dengan memakai jersi Portugal.

Beliau diminta untuk ‘meninggalkan’ pasukan kebangsaan selepas positif Covid-19 pada Selasa lalu untuk melalui tempoh kuarantin sendiri.

Dengan kekalahan terbaharu itu, Sweden tewas kesemua empat perlawanan dan kini menduduki tangga terbawah peringkat kumpulan.

Sweden ketinggalan tiga mata di belakang Croatia yang tewas 1-2 kepada Perancis di Zagreb.

Silva menjaringkan gol pertama pada minit ke-21 dan Jota menambah gol kedua sebelum tamat babak pertama.

Jota yang baru menyertai Liverpool menambah gol ketiga minit ke-72 menerusi gerakan solo. – MalaysiaGazette