Gambar hiasan

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum WBT,

Ke hadapan Yang Berhormat Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Naib-naib
Presiden UMNO, ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, ahli-ahli parlimen UMNO dan ahli-ahli
UMNO seluruh negara. Saya merupakan seorang ahli UMNO di Wilayah Persekutuan yang sayangkan parti ini dan prihatin terhadap nasib serta masa depan parti.
Saya terpanggil untuk menulis surat terbuka ini bagi tatapan semua kerana saya sudah tidak sanggup melihat kerosakan terhadap parti ini dalam kita menghadapi situasi getir pandemik Covid19 selain ketidaktentuan hala tuju politik tanahair.

UMNO ini sebuah parti yang ditubuhkan pada 1946 di atas jerih perih nenek moyang kita
dahulu melawan pembentukan Malayan Union. Parti yang diasaskan atas dasar keikhlasan
dan keinsafan untuk menyatukan bangsa Melayu selain membantu rakan-rakan lain dalam
memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu ketika itu dianggap cukup keramat dan
diagungi rakyat.

Tahun demi tahun, dekad demi dekad berlalu, kini persoalan timbul. Apakah parti UMNO ini masih lagi keramat seperti mana ia ditubuhkan dahulu? Pelbagai jenis pengkhianatan sama ada secara sedar atau tidak telah sedikit sebanyak merosakkan imej parti ini di mata umum. Pengkhianatan yang pastinya akan memberi impak negatif bukan sahaja kepada parti malah ia akan turut mengheret bangsa Melayu yang akan dianggap sebagai bangsa yang korup. PRU14 merupakan satu malapetaka yang telah ditempah lama oleh parti kita jika dilihatkan dari fakta.

Usah kita terus hidup ‘in denial’ dengan mengatakan bahawa kita ditolak ketika itu kerana fitnah dari pihak lawan. Saya pasti rakyat di Malaysia ini sedar betapa UMNO bersama Barisan Nasional telah banyak berjasa kepada negara. Namun, apakah puncanya yang menyebabkan parti ini ditolak pada pilihanraya tersebut? Ya, jawapannya adalah kesilapan kita sendiri. Kuasa telah membutakan mata dan hati kita semua. Inilah sebenarnya punca kekalahan kita.

Pasca kekalahan memalukan itu, sepatutnya parti kita melakukan perubahan secara total.
Muhasabah merupakan satu perkataan yang acapkali dilaungkan pada waktu itu. UMNO
diperhatikan dari luar dan dalam ketika menggalas tugas sebagai pembangkang. Walau
ditekan dengan pelbagai dugaan, akaun dibekukan, bekas pemimpin dan beberapa pemimpin atasan didakwa atas pelbagai kesalahan, parti ini terus bergerak. Rakyat sudah mula melihat kewibawaan UMNO dan Barisan Nasional sebagai pembangkang berkaliber. Malah ketika itu, kepercayaan rakyat sudah sedikit sebanyak diraih. Kerana parti ini adalah parti yang memperjuang nasib rakyat. Bukan parti yang membuta tuli memperjuangkan nasib pemimpin semata.

Namun perubahan iklim politik negara merubah segala-galanya. Kuasa sekali lagi
melemahkan pegangan parti kita. Usah kita salahkan pihak lain kerana dari awal lagi sepatutnya kita sedar bahawa kita perlu teguh dengan prinsip yang mana perjuangan kita asasnya adalah kebajikan serta nasib rakyat, bukan kuasa serta jawatan. Cuba lihat di sekeliling kita sekarang, rakyat mula meluat, memaki dan menyumpah pemimpin-pemimpin UMNO yang memegang jawatan Menteri dan timbalan Menteri. Di mana silapnya? Kita dilihat sebagai parti yang hanya memikirkan untuk membentuk kerajaan. Bukan sebagai wadah untuk rakyat mengadu nasib mereka.

Inilah yang perlu kita perhalusi. Saya memohon dan merayu agar pemimpin-pemimpin atasan UMNO sedar dan benar-benar insaf. Parti ini akan digamit kepupusan jika kita masih tidak mahu sedar yang parti perlukan satu bentuk perubahan dalam segenap segi. Tolonglah. Cukuplah kita bermain politik. Cukuplah kita hidup di dalam UMNO ini bertuankan kuasa semata-mata. Buang segala sifat tamak dan pentingkan diri sendiri. Kepada pemimpin yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah, lakukanlah pengorbanan dengan berundur secara terhormat. Kerana pengorbanan anda nanti akan menjamin masa depan anak cucu bangsa yang lebih cerah. Jasa anda kelak akan terus diingati zaman berzaman sebagai pejuang rakyat.

Janganlah disebabkan ego serta rasa tamak di dalam diri kita membuatkan parti ini terus
dibuang oleh rakyat. Perlu kita ingat, bangsa Melayu sendiri telah berpecah-pecah akibat
daripada perebutan kuasa dan perbezaan fahaman politik. Jika benar kita semua menganggap UMNO INI SEBUAH PERJUANGAN, maka perjuangkanlah nasib rakyat sebenar-benarnya. Lakukanlah pengorbanan kerana UMNO ini juga dahulu lahir dari satu bentuk pengorbanan yang cukup suci. Ahli-ahli biasa juga pastinya akan lebih membara semangat mereka jika pemimpin-pemimpin boleh menunjukkan satu bentuk teladan yang baik.

Sedarlah, kuasa itu tidak akan ke mana. Jika kita benar menunjukkan betapa kita ikhlas dalam memperjuangkan nasib rakyat, pastinya rakyat yang sudah bijak akan memberi mandat dan kepercayaan mereka kepada kita pada Pilihanraya Umum kelak. Biarlah kita berundur setapak, kemudian perbetulkan langkah kita, perkemas saf kepimpinan dan gerak kerja kita agar bila tiba masanya nanti, kita mampu sediakan satu barisan ampuh yang bukan sahaja digeruni lawan dan disegani kawan, tetapi satu barisan yang bisa menggoda setiap sosok rakyat untuk mengundi parti kita ini. Pada waktu itu, parti UMNO ini sudah benar-benar kembali menjadi sebuah parti keramat dan tulang belakang kepada kerajaan Barisan Nasional.

Akhir kalam, saya dengan rendah hati sekali lagi memohon agar kesemua pemimpin UMNO sedar betapa di luar sana begitu ramai rakyat serta ahli parti yang cukup setia tidak sanggup melihat parti ini berkubur dek kerana sikap serta kerakusan segelintir dari kita yang menganggap kuasa adalah segala-galanya. Jika masih tiada perubahan, janganlah kita suatu hari nanti, nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ini hanya muncul di dalam buku-buku sejarah buat tatapan generasi akan datang. Berkorban atau dikorbankan.

Sekian.
Mohamad Ariff Bin Jamaluddin

 

5 Komen

  1. Good letter…penyokong UMNO dah bersuara!! Mari kita tengok pemimpin2 UMNO yg gian sangt nk hancurkan perjuangan UMNO demi jawatan sendiri dengar tak? Kalau tak da respom means hgpa taulah what happen to UMNO today and why its been corrupt… Apa yg dikatakan TuN DR Mahathir was true thwres been a daging busuk dlm UMNO akan rosakkan UMNO dan one day people will know than skang korang ada otak kan? Pikir la yeop.

  2. umno akn huruhara selamanya selagi pemimpin2nya mabuk kebendaan(fikrah madiah)..jiwa pemimpin2nya mnghadap dunia bkn mnghadap Allah..

  3. Daging busuk tu adalah org yg mngatakan sebegitulah sebenarnya daging busuk…UMNO kena bersihkn diri dari manusia sept madey, midin, jemin, dan juga yg lain2 yg seangkatan dgnnya..

  4. salah satu cara kalau Allah nak hancurkan sesuatu persatuan.. hancurkan dari dalam sebarkan ketamakkan dan rasuah dalam nya dan kita mula lihat ia menjadi kenyataan..

  5. Indah nya kata2 yg yg di luarkn, tapi indah lg klu para pemimpin2 malayu bersatu menjaga tanah air kita, demi bngsa, agama, dan ngra drpd musuh2 kita.

Comments are closed.