Haslihelmy DM Zulhasli

KUALA LUMPUR – UMNO harus berterus terang dan menjelaskan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apa yang tidak dipersetujuinya dengan dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (PMMK), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, jika pandangan itu tidak juga dilayan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh membuat keputusan keluar dari kerajaan.

Katanya, pada pandangan beliau, lebih baik UMNO dan BN kembali kepada asal, dengan merangka serta mengatur strategi yang lebih mantap untuk menarik kembali sokongan rakyat.

“Kelangsungan politik UMNO bergantung kepada kira-kira 15 juta pengundi yang hampir 65 peratus adalah non-partisan, iaitu mereka yang mempunyai pendapat berubah-ubah.

“UMNO tidak boleh dengar suara mendesak supaya keluar PN, maka UMNO menggugut nak keluar. UMNO mesti ada alasan kuat untuk memberi kesedaran kepada rakyat keadaan sebenar,” katanya kepada media, hari ini.

Menurut beliau, hanya melalui perubahan strategi dan membina naratif politik baharu sahaja, UMNO dan BN mampu mengembalikan keyakinan rakyat.

Jelasnya, jika parti itu mahu jadi kuat, kepimpinannya perlu berani melakukan perubahan dari semua segi termasuk strategi yang luar dari kebiasaan.

“Hanya cara itu rakyat akan memberikan sokongan semula kepada parti kerana ketika itu rakyat sudah merasakan pemimpin UMNO dan BN sudah berubah.

“Walaupun saya tidak berada dalam mana-mana hirarki atau kepentingan strategik UMNO, namun ini adalah salah satu pendapat berdasarkan pemahaman dan pengetahuan saya sebagai ahli UMNO.

“Secara peribadi saya mengharapkan UMNO dan BN akan kembali kuat. Saya tidak pernah bersetuju dengan penubuhan PN mahupun Muafakat Nasional (MN),” katanya.

Menurut Haslihelmy, dengan gabungan itu, bermakna UMNO, BN serta rakan dalam PN dan MN akan berebut kerusi yang sama, sekali gus menguntungkan parti lawan terutama DAP.

Kata beliau, jika mempunyai banyak parti Melayu, orang Melayu itu sendiri akan rugi kerana pemimpinnya saling menjaga kepentingan masing-masing. – MalaysiaGazette