Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tiga lagi kluster baharu Covid-19 hari ini, kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, tiga kluster itu adalah Kluster Lekir di Manjung Perak, Kluster Buntar di Kuala Muda, Kedah, daerah Kerian di Perak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Kluster Merbok di daerah Kuala Langat, Klang.

“Kluster Lekir di Manjung, Perak dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lima lagi kes positif Covid-19,” katanya pada sidang media mengenai penularan Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, bagi Kluster Buntar pula, kes indeks dikenal pasti menerusi kes ke-18,035 yang merupakan yang positif Covid -19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Saringan kontak rapat telah mengenal pasti tujuh lagi kes yang didapati positif wabak itu, katanya.

Sementara, untuk Kluster Merbok pula, kes indeks bagi kluster tersebut dikesan menerusi kes ke 17,983 dan dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Bagi kes itu Noor Hisham berkata, saringan kontak rapat telah mengenal pasti lapan lagi kes yang positif Covid-19.

“KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan.

“Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian,” ujarnya. – MalaysiaGazette