Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai tangan pada sidang media selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2020.

TANGGAL 13 Oktober lalu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan apa yang didakwanya sokongan majoriti ahli Parlimen untuk beliau jadi Perdana Menteri.

Hari yang sama, sebanyak 660 kes baharu Covid-19 bersama empat kematian dilaporkan.

Kini, hampir semua negeri sudah ada penularan jangkitan dan buat masa ini, kes-kes baharu belum menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan.

Namun, beberapa hari lebih awal sejurus Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu membuat pengumuman mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang, terus pasaran saham jatuh dan pemimpin-pemimpin politik bergaduh.

Seperti biasa, rakyat mengeluh risau pandemik yang masih mengancam dan bagi sesetengahnya,  menjejaskan periuk nasi mereka.

Bercakap pasal pasaran saham, saya ada terbaca bursa tempatan susut 0.7 peratus pada penutup tengah hari sejurus Anwar mendakwa beliau mendapat majoriti cukup kukuh ahli Dewan Rakyat seterusnya membuka laluan untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Ia disusuli kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bahawa pengumuman oleh Ketua Umum PH itu menyebabkan Bursa Malaysia mengalami kerugian, kemudian Timbalan Menteri Menteri Sains, Tenaga Dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim dilapor berkata, tindakan Anwar itu menyebabkan kesan yang tidak sepatutnya kepada ekonomi negara.

Tindakan Anwar seolah-olah usaha sabotaj ekonomi.

Ada penyokong Presiden PKR itu menafikan prestasi buruk Bursa Malaysia disebabkan pengumuman Anwar tetapi dalam penafian itu dinyatakan puncanya adalah kerana ‘situasi politik’ semasa.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘situasi politik’ semasa?

Saya tertarik juga dengan berita yang tersebar mengaitkan Ketua Umum PH itu dengan syarikat  senaraian awam tetapi ia kemudian pantas dinafikan Anwar.

Sehari sebelum beliau dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Ahli Parlimen Port Dickson itu dilaporkan berkata, dakwaan berkenaan adalah palsu dan berniat menipu pembeli saham.

Itulah serba sedikit kesannya sejak Anwar membuat pengumuman beliau mendapat sokongan di Dewan Rakyat, melebihi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelabur-pelabur tentunya gelisah kerana perubahan kerajaan bukan perkara kecil, sebaliknya hadir bersama pelbagai impak. Ia turut menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) kerana pelabur-pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat.

Adakah situasi sedemikian yang diharapkan rakyat dalam keadaan ekonomi negara terkesan teruk akibat krisis Covid-19. Tambahan pula negara kita mengamalkan ekonomi terbuka dan amat bergantung kepada FDI.

Adakah sekarang waktu yang sesuai untuk menukar kerajaan dan apakah kepastiannya andai ada Perdana Menteri baharu mewakili gagasan parti politik lain daripada gabungan sekarang, semua masalah dan isu boleh diselesaikan?

Dalam jangka masa pendek, kemelut politik akan menjejaskan ekonomi negara, namun andai berterusan dan tiada penyelesaian mapan, ia akan menjejaskan bukan sahaja prestasi dan keyakinan pelabur  tetapi juga akan membantutkan usaha pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Saya percaya bukan pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dinanti-natikan rakyat ketika ini, bukan individu yang pentingkan agenda peribadi dan kepentingan diri diangkat menjadi Perdana Menteri.

Bukan rahsia bahawa Presiden PKR mahu menyelesaikan misinya untuk berada di hirarki tertinggi di Putrajaya, jawatan yang Anwar dan penyokong berasa sudah lama harus menjadi miliknya tetapi dikekang  oleh apa yang didakwa mereka sebagai ‘konspirasi politik’ direncana pendengki.

Namun, siapa yang berani berikan kepastian Anwar boleh menyelesaikan masalah dan isu yang sedang dihadapi negara ketika ini, terutama krisis ekonomi.

Memang beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan tetapi zaman itu sudah lebih 20 tahun berlalu.

Zaman ketika beliau mencadangkan Malaysia meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk keluar daripada krisis kewangan.

Mungkin ramai masih ingat peristiwa berkenaan dan ingat bagaimana Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan Anwar sekali gus berjaya mengelakkan Malaysia daripada mengikut telunjuk IMF yang natijahnya amat parah.

Adakah sesiapa juga berani beri jaminan bahawa Anwar sudah tidak lagi naif dalam pengurusan ekonomi untuk menggalas tanggungjawab mengemudi Malaysia ketika rakyat dan mungkin juga dunia masih tertanya-tanya apa hala tuju politik negara kita.

Apa yang pasti, ketidakstabilan yang berlarutan akan menyebabkan banyak agenda pembangunan negara terjejas, lebih-lebih lagi pada November nanti apabila kerajaan sepatutnya mengumumkan Belanjawan 2021 di samping menyempurnakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Seeloknya, kerajaan sedia ada diberi sokongan dan mandat yang kukuh bagi menangani krisis Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

Meskipun Muhyiddin dan barisan anggota Kabinetnya ada kekurangan di sana-sini, ia masih boleh dimaafkan.

Lantaran apa yang dilakukan beliau ketika ini jauh lebih baik daripada yang pernah kita ada sebelumnya atau pemimpin yang masih percaya menjadi Perdana Menteri adalah takdirnya.

Kepada yang taksub kuasa dan jawatan, tunggulah tidak sampai 36 bulan saja pun lagi, penggal PRU-14 akan berakhir. Rakyat kita pandai membuat pilihan dan andai benar anda layak, pasti mereka tidak sukar untuk memilih parti dan pemimpin mana yang mereka percaya dan yakini.

Saya teringat satu hadis Riwayat al-Bukhari, menceritakan kisah Rasulullah SAW pernah menegur dua lelaki yang meminta daripada baginda supaya mereka diberikan kuasa sebagai pemimpin.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Kami tidak memberikan urusan kepimpinan ini kepada siapa yang memintanya, kami juga tidak berikan kepimpinan buat mereka yang terlalu bersungguh mendapatkannya.”- MalaysiaGazette
Mohd Zulkifli Aiman
Teluk Intan