Dua perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dilihat melintasi dinding yang dihiasi logo parti UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 DISEMBER 2017
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerjasama UMNO dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan bukan sesuatu yang mustahil, tetapi kerjasama itu diramalkan berbentuk jangka pendek iaitu lebih kurang satu tahun.

Sumber daripada Pakatan Harapan berkata, jangka hayat kerajaan itu bergantung kepada UMNO, iaitu selama mana parti itu sanggup bekerjasama dengan PKR.

“UMNO mahu pilihan raya diadakan semasa UMNO kuat manakala Bersatu lemah,” kata sumber itu kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, masalah paling besar UMNO adalah Bersatu dan mereka mahu menggunakan Anwar untuk menekan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“UMNO sedang cuba untuk memberi tekanan kepada Muhyiddin. Pada tahap tertentu, mereka memperalatkan Anwar, PH dan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memberi tekanan,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, satu sumber lain memberitahu, antara syarat utama UMNO untuk mengekalkan kerjasama dengan Muhyiddin adalah supaya wakil parti itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Jika Muhyiddin bertolak ansur, maka UMNO akan mendapat semula kuasa utama (melalui jawatan Timbalan Perdana Menteri) dalam beberapa bulan akan datang dan ia juga menandakan pengakhiran akan bermula buat Perikatan Nasional (PN).

“Jika Muhyiddin tidak bertolak ansur dengan UMNO pula, UMNO akan bekerjasama dengan Anwar dan mengakhiri kerajaan Muhyiddin,” katanya.

Pemimpin PH itu bagaimanapun berpendapat PH tidak akan hidup selesa pada masa yang sama kerana UMNO akan berlawan pula dengan PH selepas mereka berjaya menundukkan Muhyiddin.

“Apabila Bersatu sudah berjaya dilemahkan, maka dalam masa setahun atau setahun setengah, maka UMNO akan meninggalkan Anwar,” katanya.

Sumber berpendapat, UMNO dapat bertanding di banyak kerusi apabila Bersatu yang tiada akar umbi sudah kehilangan pengaruh politik.

“UMNO mahu pastikan Bersatu kehilangan pengaruhnya iaitu sama ada Bersatu akur kepada kehendak UMNO atau tidak lagi dapat berlangsung di arena politik dengan ketiadaan sokongan akar umbi.

“Apabila kehilangan tempat berteduh di bawah Bersatu, ramai orang juga akan kembali kepada UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.