Dua beranak maut manakala tiga lagi ahli keluarga cedera apabila kereta Honda Civic dinaiki mereka terbabas dan merempuh papan tanda arah di Kilometer 78, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, tengah hari tadi.-Gambar FB.

BATU PAHAT – Dua beranak maut manakala tiga lagi ahli keluarga cedera apabila kereta Honda Civic dinaiki mereka terbabas dan merempuh papan tanda arah di Kilometer 78, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, tengah hari tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, PBK II KUP Nasrul Rahman Rusdi berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Abd Razak Mohd Mahudin, 50, iaitu penumpang hadapan kenderaan berkenaan sementara seorang lagi ialah anak Abd Razak iaitu Mohd Amirudin, 19, yang merupakan penumpang di bahagian belakang.

Menurutnya dalam kenyataan, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi anak Abd Razak iaitu Mohd Hamizan, 27, dan Nurul Nahirah, 21, serta seorang wanita Rahimah Yaman, 49, yang dipercayai isteri Abd Razak pula sekadar mengalami kecederaan.

Nasrul Rahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.08 tengah hari dan susulan itu, tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi untuk menyelamatkan semua mangsa.

“Terdapat lima mangsa dalam kemalangan ini dan anggota bertindak mengeluarkan dua mangsa cedera dengan menggunakan peralatan khas manakala seorang lagi telah keluar sendiri dari kenderaan.

“Kesemua mereka ini telah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk rawatan, manakala mayat kedua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.- BERNAMA