Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membuat tawaran yang adil kepada UMNO jika beliau benar-benar mahu terus memegang kuasa.

Ketua penerangan BN Selangor,  Isham Jalil, tawaran itu bagi mengekalkan UMNO dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan bukannya parti itu memperincikannya secara bertulis.

“Saya dimaklumkan petang tadi (semalam) bahawa Bersatu telah meminta UMNO untuk menulis surat kepada presidennya untuk memohon apa-apa tuntutan. Pada pandangan saya, arahan seperti ini tidak membantu.

“Jika Bersatu serius mahu bekerjasama dengan UMNO, sebagai perdana menteri yang memegang kuasa dan memerlukan sokongan gabungan parti politik untuk kekal berkuasa, Muhyiddin boleh membentangkan tawaran yang adil kepada UMNO atau parti politik lain untuk dipertimbangkan oleh presiden UMNO, Majlis Tertinggi mahupun pemimpin parti politik lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini semalam.

“Bersatu tidak perlu menyuruh UMNO untuk menulis surat rasmi kepada parti itu atau Perdana Menteri bagi menyatakan apa-apa permohonan.

“Memandangkan perkara yang perlu dibincangkan adalah soal politik, pada peringkat awal ini tidak perlulah melalui surat-menyurat rasmi seperti hal ehwal kontrak atau urusan perniagaan pula,” katanya lagi.

Jelas beliau, jika rundingan itu berjaya, barulah ia dimeterai secara rasmi dan bertulis.

Semalam, Muhyiddin menerusi Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin meminta UMNO memperincikan syarat baru mengenai kerjasama politik dalam PN.

Ia selepas UMNO merungut diketepikan dalam kerajaan dan memaklumkan ia sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap PN yang akan membawa kepada keruntuhan kerajaan sekarang. – MalaysiaGazette