Kementerian Belia dan Sukan

KUALA LUMPUR – Pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal termasuklah dewan badminton komersial dibenarkan  beroperasi semula mulai Isnin ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini berkata, ini bagi membolehkan aktiviti ekonomi dapat terus berjalan dan mengurangkan kesan ekonomi akibat pelaksanaan PKPB.

Katanya, sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi pertimbangan terhadap permohonan KBS agar fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB dapat beroperasi semula seperti mana dimaklumkan semalam.

“Kebenaran pembukaan semula fasiliti sukan komersial ini hendaklah mematuhi arahan semasa dan SOP yang telah diputuskan oleh MKN iaitu tiada sentuhan badan dengan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik manakala tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik.

“Selain itu, aktiviti di dalam padang bola sepak dan gelanggang futsal hanya untuk tujuan latihan sahaja dan terhad kepada maksimum 10 orang peserta pada satu-satu masa.

“Setiap pengusaha perlu menjadualkan pelaksanaan latihan sekiranya terdapat ramai peserta dengan mengehadkan jumlah tidak melebihi 10 orang pada satusatu masa, ” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan operasi di gimnasium dan dewan badminton juga perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan sebelum ini khususnya mengenai larangan perkongsian peralatan,
sanitasi peralatan yang kerap dan penjadualan slot untuk memastikan kawalan bilangan pengguna pada satu-satu masa.

Justeru jelas KBS lagi, permainan dan kejohanan yang akan melibatkan sentuhan badan masih dilarang buat masa ini.

“Dalam siri lawatan ke lapangan oleh Menteri Belia dan Sukan pada 16 Oktober lalu, para pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial ini didapati telah melaksanakan pematuhan SOP yang ditetapkan dengan cukup baik sekali.

“Bagi memastikan pematuhan terhadap SOP ini tidak diambil mudah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri akan sentiasa melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Walau bagaimanapun, aktiviti sukan dan rekreasi dalam tempat tertutup (indoor venue) yang lain akan terus diberi perhatian untuk dipertimbangkan selepas tempoh PKPB dengan melihat kepada situasi semasa,” jelas KBS.- MalaysiaGazette