Foto Facebook Rakyat United.

KUALA LUMPUR – Sejak petang semalam, kewujudan sebuah kelab bola sepak baharu yang menggunakan nama Rakyat United menjadi topik perbualan netizen di media sosial.

Ini kerana laman sosial Rakyat United telah memuat naik infografik berkenaan kelab itu yang sedang membuka permohonan untuk mana-mana pemain amatur atau profesional untuk menyertai kelab itu.

Beberapa maklumat lain dikemas kini selepas itu seperti stadium dan pusat latihan rasmi pasukan adalah berpangkalan di Lembah Klang serta tarikh tutup untuk menghantar permohanan adalah pada 6 November ini.

Pencarian pemain-pemain ini seperti tergesa-gesa untuk dipilih dan didaftarkan bagi aksi saingan musim hadapan namun persoalan timbul bagaimana sebuah pasukan yang secara tiba-tiba muncul mampu untuk melakukan persiapan ke aksi Liga Super atau Liga Premier.

Sementara itu, pesanan ringkas MalaysiaGazette kepada Rakyat United hanya mendapat maklumat awal apabila satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Maaf tuan tetapi kami di pihak Periklanan, Promosi dan Pemasaran hanya boleh kongsikan bahawasanya Rakyat United adalah sebuah pasukan yang dimiliki sepenuhnya oleh sebuah syarikat korporat. Kenyataan media rasmi akan dibuat dalam masa terdekat,” jawab pentadbir laman sosial itu. – MalaysiaGazette